Hangat seketika isu coklat Cadbury sebelum ini kerana dakwaan dua produk dari pengeluar coklat tersohor tersebut mengandungi DNA babi . (Baca selanjutnya disini). Belum lagi keputusan mesyuarat dan kajian semula oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama jabatan lain dikeluarkan, masyarakat beragama Islam sudah “mengamuk” sehingga sebuah persatuan sebelum ini juga ingin mengenakan tindakan saman RM100 juta terhadap syarikat tersebut.
Namun setelah pengesahan semula dibuat oleh JAKIM apabila menerima keputusan analisis makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bahawa tiada DNA babi seperti yang didakwa ke atas dua sampel produk tersebut ( Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 ) .
Malah, menurut laporan Utusan Online juga, Kementerian Kesihatan yang mencetuskan isu tersebut juga sudah membuat pernyataan bahawa mereka telah melakukan kesilapan berhubung pengumuman terdapat kesan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury termasuk tidak memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu. Kesilapan tersebut dikatakan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal malah tersebar luas di media sosial.
Disamping meluahkan rasa lega terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKIM, Cadbury Malaysia juga dilihat mula mengatur strategi dalam meyakinkan dan memikat semula pengguna mereka khususnya umat Islam.
Antaranya tagline iklan yang berbunyi “All Is Good Enjoy Us Again” ( Segalanya Baik. Kembali Ceria Kepada Kami). Iklan tersebut telah mula dilihat disiarkan di media-media cetak dan elektronik.
Dalam ruangan iklan tersebut bait ayat yang berbunyi Coklat Cadbury anda yang dibuat dan dijual di Malaysia telah diiktiraf Halal oleh JAKIM . Anda telah mempercayai kami selama 40 tahun dan boleh terus berbuat demikian . Terima kasih Malaysia kerana mempercayai kami.
Menurut laporan berita yang lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Dr Maszlee Malik seorang pensyarah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara yang menyeru umat Islam di Malaysia supaya yakin dengan autoriti yang telah diberika kepada JAKIM yang merupakan pihak berkuasa dalam hal seumpama ini di Malaysia.
Jadi dengan kenyataan-kenyataan ini, adakah anda sudah yakin untuk menikmati coklat enak ini semula?
Sumber : Astro Awani, The Malaysian Insider, & Utusan Online