Siapa di sini peminat coklat? Penulis pasti jika anda seorang peminat coklat, coklat jenama Cadbury seperti Cadbury Dairy Milk , ZIP , Choclairs dan pelbagai lagi rangkaian coklat enak daripada jenama tersebut, mesti termasuk dalam senarai coklat kegemaran anda bukan.
Namun, baru-baru ini ,kita dikejutkan dengan berita tentang terdapat kandungan DNA khinzir (porcine) telah dikesan dalam coklat Dairy Milk perisa kacang hazel dna kacang badam . Tentunya berita ini memeranjatkan orang ramai kerana coklat tersebut telah lama bertapak di Malaysia dan juga dilabelkan Halal oleh JAKIM.
Menurut laporan Berita Harian , Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) , telah memanggil syarikat pengeluar coklat tersebut untuk bermesyuarat tentang perkara tersebut. Mesyuarat tersebut akan disertai Jabatan Kesihatan, Jabatan Standard dan Jabatan Kimia.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, pihak beliau akan memaklumkan orang ramai tentang keputusan perbincangan tersebut melalui media.
Menurut laporan Sinar Harian pula syarikat tersebut memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa JAKIM bagi menyiasat isu tersebut.
Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan semalam berkata, isu halal menjadi keutamaan penting kepada syarikat berkenaan.
“Kami memahami kekecewaan pelanggan berhubung ujian yang dilakukan Kementerian Kesihatan terhadap dua produk kami. Kami mendengar dan menghargai komen serta maklum balas yang diterima.
“Kami juga memahami kepentingan isu halal kepada masyarakat Islam. Menjadi keutamaan kami untuk memastikan semua produk yang dibuat di Malaysia adalah halal,” katanya.
Buat masa ini , pihak JAKIM telah menggantung sijil halal dua produk tersebut dan pihak Cadbury sendiri juga telah menarik semua Cadbury Dairy Milk Hazelnut (dengan nombor kelompok 200813M01H I2 yang luput pada 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (dengan nombor kelompok 221013N01R I1 yang luput pada 15 Januari 2015) serta merta.
Tiada coklat Cadbury lain yang terjejas akan akibat perkara ini.