Ini adalah hakikat tentang pembuatan kopi. Jika anda merupakan penagih aroma dan rasa kopi yang tegar, sudah tentu secara tidak langsung anda akan menghasilkan banyak lebihan sisa serbuk kopi yang terpakai, betul tak?
Saban minggu mengumpul lebihan serbuk kopi, apa sebenarnya yang anda boleh buat dengan sisa buangan tersebut? Lebih elok simpan daripada dibuang kerana banyak kebaikannya.
Ha… ini dia, Wanista nak bisik cara-cara bagaimana boleh anda memanfaatkan penggunaan lebihan serbuk kopi di rumah.
#1 Jadikan Baja
Kebaikan membuat kopi menggunakan cara manual ringkas seperti penapis kertas dan serbuk kopi adalah setelah keduanya selesai diguna pakai, ia akan menjadi hancur. Serbuk kopi begitu kaya dengan kandungan nitrogen dan itulah yang menjadikan ia sebagai komponen baja terbaik -menyumbangkan nutrien untuk pohon jagaan anda! Tetapi, pastikan serbuk kopi telah betul-betul hancur dan menjadi halus sebelum anda menaburkan ia sebagai baja pohon.
#2 Membersihkan Kotoran Pinggan Mangkuk
Oleh kerana serbuk kopi miliki tekstur yang agak kasar, ia bisa berfungsi sebagai penyah kotoran. Jadi, bolehlah anda menggunakan serbuk kopi untuk mencuci pinggan kotor.
Taburkan serbuk kopi pada hamparkan napkin kecil atau apa-apa kain yang bersaiz kecik. Bunjutkan serbuk kopi berkenaan dan tadaa! anda kini mempunyai span pencuci pinggan DIY menggunakan serbuk kopi.
#3 Pengelupas Semula Jadi
Seperti juga ia merupakan penanggal kotoran terbaik, serbuk kopi juga adalah pengelupas semula jadi yang berkhasiat untuk kulit badan manusia. Mudah sahaja, anda cuma perlu mencampurkan satu bahagian serbuk kopi bersama minyak zaitun dan urutkannya ke permukaan kulit secara lembut dan rata. Serbuk kopi sebagai mekanisma pengelupas manakala minyak zaitun bertindak sebagai pelembap kulit.
#4 Bantu Pulih Calar Pada Perabot
Apa? Di rumah anda terdapat banyak perabot yang bercalar? Ah senang je… Campurkan serbuk kopi bersama air suam dan sedikit cuka, lalu campuran berkenaan diatas permukaan perabot rumah anda yang calar itu tadi. Hasilnya, perabot anda akan kelihatan seolah masih baru!
#5 Buat Peti Sejuk Berbau Segar
Serupa dengan soda bikarbonat, serbuk kopi boleh menjadi penghilang bau. Letakkan semangkuk serbuk kopi di dalam peti sejuk yang bertindak untuk menyerap bauan hapak dan busuk.
Mudah kan? Selamat Mencuba!