Tepat jam 10 malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) mengenai keadaan terkini pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014. Menurut teks yang dibaca oleh beliau, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
Menurut Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.
“Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi,” kata Najib. Dato’ Seri Najib menggunakan perkataan BERAKHIR dan bukannya TERHEMPAS dan sebagainya.
Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang ia lakukan sejak pesawat ini hilang.
MAS juga memaklumkan operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.
Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal. Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.
Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.
Sumber : Astro Awani