Semalam kami ada menerbitkan artikel berkenaan berkaitan imej gambar khinzir yang diletakkan pada bungkusan salah satu produknya [Baca: Coklat Cadbury Masih Ada Khinzir? ] dan di penghujung artikel terbabit kami juga memohon pihak Cadbury untuk menjelaskan perkara terbabit kepada umum.
Pihak Cadbury telah pun menghubungi kami untuk memperjelaskan tentang kekeliruan yang timbul ini. Ini jawapan mereka :
Merujuk kepada gambar yang tersebar di media sosial tentang Cadbury Dairy Milk Button, kami ingin menjelaskan bahawa produk tersebut adalah produk vegetarian yang dihasilkan di United Kingdom dan diimport oleh peruncit bebas. Kami menasihatkan pengguna untuk merujuk kepada pembungkusan untuk maklumat asal produk.
Maksudnya di sini, produk tersebut bukan di bawah pembuatan , pengedaran dan kawalan Cadbury Malaysia. Pihak Cadbury juga berharap orang ramai tidak keliru dengan gambar yang disebarkan itu.
Selain itu, mereka juga turut memperjelaskan tentang status Halal produk mereka yang masih diragui oleh pengguna. Menurut jurucakap yang menghubungi kami, Cadbury Malaysia sememangnya prihatin dengan kebimbangan rakyat Malaysia dengan status halal mereka beberapa bulan ini.
Maka dalam usaha mengembalikan keyakinan pengguna terutama yang beragama Islam, pada 23 Julai 2014 yang lalu, pihak mereka telah menjemput individu yang sangat berpengalaman dalam selok-belok ajaran Islam dan merupakan antara suara-suara Islam yang paling dihormati di Malaysia untuk membuat lawatan ke kilang mereka untuk melihat sendiri proses pembuatan coklat ini.
Tokoh-tokoh terbabit adalah,
- Al Fadil YBhg Datuk Nooh Gadot, Bekas Mufti Johor dan Majlis agama Johor
- Ustaz Haji Mohd Shukri bin Ali, Bekas Pegawai Agama kepada Istana DYMM Sultan Terengganu (Kini sedang bercuti belajar)
- Ustaz Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd. Rahman, Presiden, Multaqa Asatizah & Du’at (Kesatuan Ilmuwan Islam dan Pendakwah)
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, YBhg Dato’ Dr Maamor bin Osman turut hadir dalam sesi lawatan tersebut.
Berikut adalah komen mereka selepas lawatan tersebut :
Berdasarkan lawatan ini, kami memutuskan bahawa coklat Cadbury yang dihasilkan di Malaysia adalah mematuhi garis panduan ketat yang diperkenalkan JAKIM dan JAIS. Begitu banyak perhatian ditumpukan kepada seluruh proses pengeluaran di kilang ini bagi memastikan kebersihan mesin dan kebersihan pengendalian bahan mentah. Maka. tiada sebarang kemungkinan perkara-perkara yang luar biasa boleh berlaku. Kami juga dimaklumkan bahawa 80% daripada pekerja yang memberi khidmat dalam kilang tersebut merupakan Muslim dan sebahagian daripada mereka telah bekerja di kilang Cadbury melebihi 20 tahun. Saya fikir penting untuk kita maklum bahawa jenama ini akan terus bekerjasama secara erat dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan mematuhi proses kualiti dalaman yang diperlukan,” kata Ustaz Dr. Zaharuddin.
Ini adalah usaha tambahan daripada Cadbury Malaysia dalam mengembalikan semula keyakinan pengguna terhadap status halal produk mereka. Pada 2 Jun 2014, pihak JAKIM telah mengesahkan bahawa keputusan ujian coklat Cadbury, tanpa sebarang pertikaian, adalah halal.