Kediaman yang kecil biasanya akan mencetuskan masalah apabila ramai di antara penghuninya beranggapan bahawa cara untuk menghias rumah kecil seperti apartment adalah begitu terhad disebabkan oleh ruang dalaman yang tidak seberapa.
Namun begitu, di sini Wanista berasa terpanggil untuk mengajarkan anda cara-cara bagaimana langkah yang terbaik untuk menghias Apartment agar tampak lebih eksklusif serta menarik setanding rumah-rumah moden lain.
- Dinding Bercorak
Sebelum anda mengisi rumah dengan segala macam perkakas mahupun perabut pilihan, perhatikan dinding rumah terlebih dahulu.
Corak serta cetakan yang ceria pada dinding secara tidak langsung mampu menaikkan seri sekaligus membuatkan rumah kelihatan lebih luas.
Jika anda tidak pasti untuk memenuhi dinding dengan kertas dinding yang kekal, cuba gunakan kertas dinding mudah alih yang boleh anda tanggalkan semula pada bila-bila masa.
- Kerusi Rehat Dengan Ruang Simpanan
Jangan hanya tahu membazir untuk membeli perabot-perabot mahal tanpa fungsi menyeluruh meskipun ia cantik untuk dilihat. Sebaliknya, fikir akan kemampuan perabot itu untuk digunakan lebih dari satu fungsi.
Sebagai contoh, jika anda mendiami rumah yang kecil, manfaatkan perabot yang boleh digunakan sebagai ruang penyimpanan seperti kerusi rehat yang boleh dijadikan kotak simpanan barang-barang mahupun meja makan yang boleh dilaras dan dilebarkan jika perlu.
Banyakkan berjalan di kedai-kedai perabot untuk melihat serta memilih perabot-perabot yang terbaik sebelum anda membelinya.
- Perabot Lut Sinar
Kadang-kala perabot yang terlalu berwarna-warni akan menyerabutkan keadaan rumah. Jadi apa kata kali ini anda gunakan perabot yang mempunyai rekaan lut sinar. Tampak moden seperti yang banyak dilihat dalam majalah-majalah dekorasi terbitan terkini bahkan akan menampakkan rumah yang kecil kelihatan luas serta-merta.
- Nesting Table
Nesting table yang terdiri dari variasi ketinggian dan saiz ini akan menambah seleksi perabot ke dalam rumah kecil anda tanpa menyerabutkan keadaan.
Anda boleh tempatkan nesting table ini di sudut-sudut rumah sebagai meja untuk menempatkan barangan perhiasan berharga seperti pasu mahupun bingkai-bingkai gambar dan apabila tetamu mula berkerumun di dalam rumah tatkala anda membuat jamuan, bolehlah anda memanfaatkan meja tersebut sebagai tempat untuk meletak minuman mahupun hidangan ringan kepada tetamu tanpa perlu membeli meja tambahan lain.
- Dulang Hiasan
Ini cara terbaik untuk anda menghalang meja kopi anda dipenuhi duit syiling, kunci rumah mahupun barangan genit lain yang kemudiannya menampakkan ruang tamu anda kelihatan bersepah.
Letakkan dulang hiasan yang bisa berfungsi sebagai tempat simpanan strategik seterusnya dapat membangkitkan seri meja kopi yang kosong dan tidak ceria. Bijak bukan?
Selain pasu bunga normal, cara menghias meja dengan dulang ini pasti nampak lebih ranggi sesuai buat mereka yang berjiwa muda dan gemarkan konsep hiasan dalaman ala bohemian. Oh, jika anda guna bakul yang dianyam kemas pun mesti cantik!
- Jalur Penyimpanan Magnetik
Bahagian laci dapur sering dipenuhi dengan perkakas logam seperti pisau, pembuka tin, sudu, sudip dan banyak lagi sehingga sukar untuk anda mencarinya ketika ia diperlukan.
Oleh itu, hilangkan tekanan anda di dapur dengan menggantungkan jalur penyimpanan magnetik seperti di dalam gambar supaya anda boleh susun dan lekatkan dengan rapi segala perkakas logam anda di suatu sudut dapur.
- Rak Buku Terbuka
Mempunyai rak buku terbuka di rumah adalah jalan terbaik untuk anda membahagikan atau menyimpan barang anda secara terurus mengikut kategori.
Selain itu, anda boleh menggunakan rak buku terbuka untuk mewujudkan ruang pemisah untuk satu ruang berubah menjadi kepada dua ruang yang berbeza seperti antara ruang tamu dan ruang makan!
- Katil Dengan Ruang Simpanan
Alternatif yang bijak untuk memiliki katil sebegini jika bilik yang kecil harus dikongsi oleh dua individu. Sudahlah satu katil dapat diisi dengan dua tilam berlainan, malah terdapat juga laci “built in” yang boleh dimanfaatkan sebagai ruang penyimpanan genius.
- Peti Ais Retro
Tahukah anda rekaan peti ais lama adalah lebih kecil berbanding rekaan peti ais moden masa kini yang lebih besar serta memakan besar ruangan di dapur.
Jika rumah anda mempunyai dapur yang agak kecil, jangan terlalu ghairah untuk memiliki peti ais dua pintu yang saiznya dua hingga tiga kali ganda lebih besar dari saiz peti ais normal.
Beli sahaja peti ais retro seperti di dalam gambar. Alang-alang boleh juga anda menghias dapur cara lama berkonsepkan retro. Nampak cool juga! Tidak semua peti ais lama tidak berteknologi tinggi tahu? Dan penulis nasihatkan anda supaya tidak membeli peti ais yang mempunyai freezer di bahagian bawah kerana ia lebih mudah rosak. Kalau boleh, beli peti ais yang memopunyai freezer di bahagian atas.
- Rak Tergantung Di Dinding
Tidak semua barang hiasan harus memenuhi ruangan atas meja makan, meja kopi, meja konsol dan sebagainya.
Jika anda adalah seorang individu yang memang gemar mengumpul barang perhiasan, anda boleh gantung rak terapung di dinding untuk menjadi tempat mempamerkan koleksi item perhiasan dan kraf milik peribadi. Lebih cantik dan tidaklah dinding anda nampak kosong sangat!
- Cermin Bersaiz Gergasi
Cermin dapat memberi ilusi seolah ruang rumah anda yang kecil itu kelihatan dua kali ganda lebih besar. Praktikkan penggunaan cermin yang lebih besar di dalam rumah okay?
Selamat menghias rumah semuanya!