Ketika kecil dulu, sesiapa yang ada ketumbit pada mata pasti menjadi bahan usikan sekeluarga kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat buruk iaitu mengintai orang.
Kalau ketumbit itu kecil, tidak mengapalah kerana tidak ramai yang akan perasan, tetapi ia jadi masalah jika benjolan seperti jerawat di tepi mata itu besar sehingga menyebabkan rasa sakit selain malu diusik.
Sebenarnya ketumbit tiada kaitan langsung dengan tabiat mengintai kerana ia sejenis keradangan pada kelopak mata yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan masalah.
Lalu bagaimanakah cara cepat dan tepat untuk ketumbit ini?
Cara pertama yang boleh anda lakukan adalah dengan menuam mata dengan kain yang direndam dalam air suam untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata. Bersihkan kawasan mata dan tekap dengan tuala selama 10 minit. Cara ini akan mengurangkan rasa gatal dan mengempeskan bengkak pada mata.
Anda juga boleh menggunakan bawang putih. Bawang putih mngandungi zat anti bakteria yang boleh menyembuhkan ketumbit. Bersihkan mata dengan air hangat dan sediakan bawang putih. Haluskan bawang dan sapukan pada kawasan kelopak mata ketumbit.
Cara seterusnya, anda boleh cuba daun sirih. Siapkan beberapa helai daun sirih dan rebus hingga mendidih. Angkat dan perah daun sirih tersebut, gunakan airnya untuk membersihkan mata ketumbit.
Cara praktikal seterusnya adalah dengan penggunaan antibiotik setempat yang harus diletakkan ke dalam mata bagi merawat jangkitan kuman.