Hampir satu bulan lebih, bayang Bella Hadid menghilang dari laman sosial miliknya terutama di Instagram. Berpuluh ribu komen hinggap bertanya khabar berita Model of The Year 2022 ini. Hantaran terakhir Bella Hadid ialah berkongsi gambar kempen bersama Charlotte Tilbury dan pelancaran produk minuman Kin Euphorics.
Selepas itu kembali menyepi sehingga pada awal bulan ini, Bella membuka pekung di dada apabila berkongsi cerita disebalik ‘kehilangannya’. Rupanya Bella Hadid menghidapi penyakit Lyme yang boleh membawa maut. Derita yang dihadapi oleh Bella sejak usia 17 tahun telah kembali semula.

Simptom yang dihadapi oleh penyakit lyme ternyata serius dan boleh meragut kebebasan diri. Bermula dari sakit kepala, sakit otot, sukar tidur, demam, depresi, kulit sensitif dan banyak lagi. Menurut dari gambar posting Bella, dia juga menghadapi masalah tumpuan atau memori.
Tidak mudah patah semangat, Bella mengambil keputusan untuk berehat dan paling penting mendapatkan rawatan. Sepanjang 100 hari rawatan, dia ditemani oleh ibu, Yolanda Hadid. Menurut model ini lagi, selama melawan penyakit ini dia gemar memikirkan perkara yang positif dan mencari pengalaman baharu.

“I tried to pick the most positive pictures I could because as painful as this experience was, the outcome was the most enlighthening experience of my life filled with new friends, new visions and a new brain”
Pada dua tahun lalu, Bella Hadid juga sering terlihat berkongsi momen ketika menerima suntikan IV. Cuma dengan keadaan kesibukan jadual dan kerjaya, kali ini Bella tewas. Namun, Bella masih merendah diri untuk tidak berasa megah kerana baginya cukup beruntung dalam keadaan lemah. Dia masih menerima sokongan dan kasih sayang dari keluarga, majikan dan peminat.

Buat anda yang keliru tentang penyakit Lyme atau penyakit autoimun. Pertama sekali, penyakit Lyme ialah hasil dari jangkitan kutu yang biasa kutu jenis kaki hitam. Kutu ini biasa terdapat di wilayah Amerika Utara dan sekitar.
Walaubagaimanapun, penyakit Lyme tidak dikategorikan sebagai penyakit autoimun. Namun, ia masih direkod sebagai penyakit yang boleh merangsang autoimun seseorang. Bagi penghidap penyakit Lyme harus mendapat rawatan antibiotik secara oral sehingga 2 – 4 minggu.

Kami di DIVA mendoakan Bella Hadid supaya lekas sembuh dan dapat kembali ke arena pentas peragaan! We love you Bella!