Puteri Nourah Alfaisal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Seni Warisan Arab Saudi. Beliau sebenarnya cukup aktif dalam merencanakan pelbagai aktiviti kesenian, fesyen dan budaya. Terkini, beliau melancarkan kolaborasi khas bersama Asprey memperkenalkan rekaan beg dan hiasan barang kemas elegan.
Menarik tentang kolaborasi ini, Puteri Nourah yang juga pemilik Nuun Jewels memilih rekaan beg tangan dengan gaya clutch bersama kemasan rekaan ikonik 1781 ‘pochette’ milik Asprey.

Ia dihiasi dengan kraf tradisional dari setiap wilayah Arab Saudi. Setiap lima beg hasil air tangan Puteri Nourah sendiri!
Jika anda tidak tahu, Asprey merupakan satu jenama aksesori dan barangan rumah mewah asal London. Jadi hasil gabungan Puteri Nourah dan Asprey amat bermakna dan memberi ruang baru untuk memperkenalkan seni budaya Arab Saudi bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi luar.

Ilham disebalik pilihan warna beg dan corak sudah tentu mengembalikan budaya hidup warna-warni Arab Saudi. Diolah pula sudut beg yang minimalis sebagai pencerahan tentang sifat moden wanita Arab.

Cerita tentang pembuatan beg ini, ia direka di London tetapi dibawa semula ke Arab Saudi untuk tujuan proses menyulam motif dan corak oleh kerja tangan seni wanita tempatan. Jadi beg ini memang menjaga kualiti dan aspek keaslian.

Tahniah kepada Puteri Nourah dengan hasil kreatif dan tujuan yang cukup bermanfaat pada dunia fesyen dan warisan kebudayaan dunia!