Jika 10 tahun lepas kita begitu selesa untuk berkongsi apa jua cerita atau rutin harian di media sosial. Ia seolah tiada apa-apa tanggapan negatif pada yang melihatnya. Namun masa telah pun berlalu dan kini media sosial menjadi lubuk apa jua kandungan yang boleh menjadi positif atau sebaliknya. Sisi yang ingin DIVA sentuh kali ini ialah tabiat sesetengah dari kita yang terlanjur berkongsi 1001 perkara hal peribadi di alam maya tersebut.
Diari yang diubah secara digital ini telah membenarkan banyak mata melihat dan akal membuahkan tanggapan sendiri. Kesannya ada yang mula merasa rimas dan tiada lagi keistimewaan dalam bentuk peribadi diri. Bahkan ada juga yang mudah dilabel ‘kesunyian’, gara-gara perkongsian di media sosial. Jadi mengapa kita terus mahu luahkan segalanya di media sosial, atas alasan diari digital?
Pakar psikologi mengatakan masalah ‘oversharing’ berlaku kerana kita mahu perhatian dan dikira sebagai satu taraf yang sama dengan masyarakat luar. Bahkan ada yang menganggap dengan sikap berkongsi ini boleh dikira personaliti yang mesra. Tanpa kita sedar ia telah membuatkan sempadan privasi telah hilang. Akhirnya kita mula merasa tertekan dan menyebabkan hubungan dengan pasangan atau keluarga terjejas.
Sebelum ia menjadi lebih buruk, DIVA ada jalan untuk anda hentikan sikap over-sharing ini. Ia satu rutin untuk anda stop and think sebelum post!
#1 Tanya pada diri sendiri dahulu
Semak dahulu perkara yang ingin kongsikan ini. Adakah ia baik, bermanfaat, sia-sia atau boleh menyakiti hati orang lain? Lihat juga adakah ia hantaran yang menganggu privasi pasangan atau keluarga. Jika ia satu perkara sekadar untuk dijadikan kenangan sendiri, cukuplah ia hanya simpan di galeri telefon pintar anda. DIVA juga cukup sedih apabila melihat para ibu bapa yang suka muatnaik gambar atau video anak-anak dalam keadaan yang aib. Kadang dibiar atas alasan lucu, dengar sini, adakah ia akan kekal lucu selepas anak-anak itu dewasa?
IKLAN
#2 Didik tentang menghormati privasi orang lain
Silalah belajar dan didik hati untuk hormati hak orang lain. Ia suatu sifat manusiawi yang semakin hilang dalam diri kita. Privasi pasangan, keluarga dan sahabat bukan perkara yang sewenang-wenangnya untuk kita buat main didalam media sosial. Jika boleh, minta izin pada mereka dahulu sebelum untuk membuat hantaran terutamanya gambar dan video.
#3 Diam lebih baik
Jangan disebabkan bosan dan inginkan perhatian yang bersifat sementara, anda mula membuat hantaran bodoh seperti hantaran atau komen berbentuk provokasi. Jika anda faham benar dengan kuasa diam, anda ialah manusia yang paling kuat. Tidak semua dalam dunia ini perlu pendapat anda. Jadi diam lebih baik.
#4 Kurangkan post gambar atau video
Cuba kurangkan hantaran dalam bentuk gambar atau video yang tiada konteks! Sebaiknya anda boleh membuat hantaran melalui penulisan ia lebih mencipta suatu harmonis. Bahkan dengan penulisan ia akan mengambil masa untuk anda berfikir samada ia baik atau memadai untuk disimpan sendiri.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dan sedarilah media sosial hanya suatu kesempatan yang boleh mengunggah aib. Hati-hati.