Minggu lalu, selebriti ternama Hollywood menjejak kaki ke tanah Bollywood bersempena pameran fesyen Nita Mukesh Ambani Cultural Centre yang diadakan di Mumbai. Ia malam gala yang menyatukan 140 helaian kostum berinspirasikan budaya India.
Sudah pasti nama terhebat Bollywood turut hadir seperti Priyanka Chopra, Deepika Padukone, Shah Rukh Khan dan ramai lagi. Namun yang paling mencuri perhatian ialah kelibat Zendaya dan Gigi Hadid yang dikatakan menghangatkan lagi suasana acara karpet merah.
Pelakon dan supermodel ini memilih rekaan sari pereka fesyen terkemuka asal India, Rahul Mishra. Terjerit-jerit para paparazzi apabila muncul dua figura ini untuk mendapatkan shoot yang terbaik. DIVA cukup terpersona melihat dua jelitawan ini. Biarpun dalam rekaan yang sama tapi masing-masing membawa personaliti tersendiri.
IKLAN
Gigi Hadid hadir umpama dewi emas yang terpancar kemewahan kuning keemasan. Bahagian atas, blaus yang sarat dengan perincian manik dan diikuti bahagian kain lepas berwarna beige. Gigi lengkapkan gayanya dengan kiri dan kanan lengan sarat dengan gelang.
Manakala Zendaya pula kekal dengan sifat minimalisnya dalam berfesyen. Bahagian mini top dihiasi dedaun keemasan dan digandingan kain lepas biru gelap. Menariknya kain lepas itu bak bintang-bintang dilangit dan kemudian dihiasi corak bunga-bungaan dihujung.
Biarpun dua rekaan bercirikan moden, namun air tangan Rahul Mishra tidak boleh dinafikan lagi. Beliau sangat bijak bermain dengan perincian, warna dan potongan yang mampu menjadikan sari sebagai fesyen seiring dengan zaman.
Kamu paling suka yang mana?