Perkongsian di media sosial sudah menjadi perkara lazim. Tidak kira apa semuanya pasti akan dibuat hantaran di laman media sosial. Termasuklah yang membuat content tentang hubungan kekasih, rumah tangga dan keluarga. Sehingga ada yang menjadikan pasangan atau anak-anak sebagai isi content mereka.
Sebenarnya tidak salah pun untuk berkongsi gambar atau video pasangan atau keluarga. Sebab ada diantara kita menjadikan media sosial sebagai album digital. Namun yang menjadi kurang elok apabila menggunakan orang tersayang sebagai peraih likes dan views. Perkara ini boleh menjejaskan hubungan dan secara tidak sedar boleh memberi impak negatif, terutamanya dalam menjaga privasi.
Soal dalam kain selimut rumah tangga wajar untuk disimpan secara baik, terutamanya kemesraan kita bersama pasangan. Benar ada sesetengah orang suka menulis panjang lebar tentang kebaikan mahupun keburukan pasangan. Atas alasan sebagai kenangan atau pengajaran pada yang lain. Tapi kita tidak sedar ia boleh menjejaskan maruah pasangan kita, mungkin jauh dari sudut hati mereka malu dan terkilan dengan tindakan itu.
Pendapat DIVA minta izin dahulu kepada pasangan untuk membuat hantaran tentang mereka. Begitu juga dengan gambar atau video yang mungkin boleh buat mereka terasa insecure. Percayalah jika anda mula menghormati privasi pasangan, mereka akan lebih seribu kali hormatkan anda.
Selain itu, kita juga sering lupa untuk menghayati masa bersama pasangan secara intim. Pada tangan kita sudah wajib memegang telefon pintar kononnya supaya tidak lupa momen-momen romantis ini. Tapi akhirnya ia menjadi pelaris untuk menaikkan engagement content media sosial. Jadi apakah pemaknaan pergi bercuti, makan bersama atau kualiti masa bersama?
IKLAN
Bahkan dengan tindakan kita itu juga mampu mencipta fantasi di media sosial. Kita sendiri lihat bagaimana keluarga atau suami isteri kelihatan bahagia dan ceria di TikTok, akhirnya berpecah-belah. Ianya berpunca apabila kita meletakkan realiti di aplikasi fantasi tersebut. Malah, kritikan dari pengguna lain juga boleh memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan kita.
Bukan DIVA halang untuk anda merakam kenangan tapi sebaiknya simpan sendiri atau pilih secara selektif jika untuk berkongsian dengan dunia luar. Jangan lupa tak semua orang akan selesa apabila muka sentiasa dihadapkan kamera termasuklah pasangan dan anak-anak kita.
Manisnya kasih sayang itu biarlah kita dan pasangan sahaja yang tahu, seperti mana peritnya kehidupan bersama.
Selamat beramal.