Bila kita dengan syampu dan perapi rambut pasti kita sudah tahu tentang dua fungsi yang berbeza antara dua produk ini. Syampu ialah agen pembersih rambut, manakala perapi pula ditugaskan untuk memberi ‘nutrisi’ pada rambut untuk kesan baik yang berpanjangan.
Baru-baru ini DIVA sempat melihat beberapa video tular di media sosial tentang pengunaan yang lebih tepat. Ternyata masih ramai lagi yang keliru antara fungsi syampu dan perapi.
Mari DIVA jelaskan…
Fungsi syampu
Syampu mengandungi bahan-bahan yang dapat bertindak menyingkirkan minyak, kotoran dan bekas-bekas produk rambut yang lain. Jika biasanya kita hanya syampu pada rambut tapi cara yang sebenar ialah membenarkan syampu membersih kulit kepala. Sekaligus dapat mengurangkan kesan kulit kering (kelemumur) dan menyingkirkan kesan berminyak.
Masalahnya disini ramai yang hanya syampu pada rambut dan tidak pada kulit kepala. Jadi tukar cara menggunakan syampu. Ia mampu membersihkan rambut dan juga kulit kepala. Cara yang terbaik, pilih syampu yang mempunyai bahan merawat kulit kepala.
Fungsi perapi rambut
Ada sesetengah orang mengelak dari menggunakan perapi rambut atas alasan ia menyebabkan kelemumur dan rambut semakin kering. Ya, tak dinafikan masalah tersebut boleh terjadi, namun jika salah guna perapi.
IKLAN
Tekstur perapi yang pekat dan likat ialah seumpama masker rambut. Ia wajib dipakai pada rambut sahaja bukan pada kulit kepala. Biarkan selama beberapa minit dan bilas. Hasilnya rambut lebih lembut, terurus dan licin.
Rambut kering selepas guna perapi?
Okay muncul pula masalah rambut kering akibat perapi rambut. Terdapat tips terbaru yang boleh anda cuba. Terutamanya mereka yang memiliki rambut kering, normal atau rosak. Teknik ini dipanggil ‘co-washing hair’ iaitu hanya guna perapi rambut sahaja. Kedengaran agak pelik bukan?
Ketepikan syampu anda dan hanya guna perapi rambut untuk mengembalikan rambut yang lebih bermaya. Ini kerana syampu berpontensi besar mengeringkan rambut atas alasan fungsinya membersihkan minyak dan kotoran. Tapi kalau rambut anda memang sudah jenis kering atau terlalu kering sudah tentu tiada minyak untuk disingkirkan. Jadi memadai sahaja guna perapi rambut.
Syampu pula anda boleh guna sebagai pembersih kulit kepala dan sebaiknya pilih bahan syampu bebas dari silikon dan guna sekurang-kurangnya dua minggu sekali.
Selamat beramal!