Bulan Oktober dikenali sebagai bulan kesedaran kesihatan payudara, dan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) mengambil peluang untuk menyertai kempen ini serta meningkatkan kesedaran mengenai kanser.
Melalui pendekatan ini, SMVC berharap untuk membantu para wanita untuk memahami kesihatan payudara dan ginekologi mereka dengan lebih baik dan seterusnya dapat mengesan sebarang kemungkinan masalah kesihatan dan mendcapatkan rawatan seawal mungkin.
Dr Suziah Mokhtar, Pakar Perunding Pembedahan Am, Payudara, dan Endoktrin dari SMCV berkongsi bahawa satu daripada 27 orang wanita dewasa berisiko untuk mendapat kanser payudara sepanjang hidupnya. Kemungkinan semakin meningkat jika wanita tersebut mempunyai ahli keluarga terdekat yang pernah mempunyai kanser payudara atau ovari.
- Foto – Dr Suziah Mokhtar, Pakar Perunding Pembedahan Am, Payudara, dan Endoktrin SMCV
“Kebanyakan kanser payudara bersifat sporadik di mana kanser berlaku daripada kerosakan gen yang terjadi secara kebetulan semasa dewasa. Namun, tiada risiko untuk anak-anak pesakit kanser mewarisi gen tersebut.
“Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai penyebab kanser payudara termasuklah hasil gabungan fisiologi dalaman, hormon, gaya hidup dan faktor-faktor persekitaran,” kongsinya.
Kanser payudara yang kerap berlaku adalah dari jenis invasif (berupaya untuk merebak) dan in-situ (tiada keupayaan untuk merebak). Kebanyakan kanser payudara berlaku di dalam saluran susu (milk duct) dengan invasive ductal carcinoma merangkumi 70-80% daripada kes kanser payudara.
IKLAN
- Foto – Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV)
“Gejala kanser payudara yang biasanya dialami oleh pesakit adalah ketulan di payudara, perubahan pada puting dan sakit di payudara. Antara simptom lain yang kurang diketahui termasuklah ketulan di ketiak (selalunya dianggap sebagai bengkak nodus limpa biasa), perubahan pada kulit payudara (selalunya dianggap sebagai ekzema atau alergi) atau simptom yang diakibatkan oleh perebakan sel kanser ke organ-organ lain seperti merebak ke paru-paru menyebabkan batuk dan sukar bernafas, merebak ke hati menyebabkan penyakit kuning dan busung (ascites) dan merebak ke otak menyebabkan sakit kepala berterusan,” tambah Dr Suziah.
Pengesanan Awal Dengan Ujian Saringan Mengikut Faktor Usia
Pengesanan awal kanser payudara boleh membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik. Mamogram, ujian saringan paling utama digunakan untuk mengesan kanser payudara di kalangan wanita berusia lebih 40 tahun.
Bagi wanita yang berusia lebih muda, ujian saringan ultrasound boleh dilakukan. Mereka yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser payudara, digalakkan untuk menjalani ujian saringan seawal usia 30 tahun.
Rawatan kanser payudara terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi endokrin dan terapi bersasar (targeted therapy). Walaupun begitu, Dr. Suziah menekankan bahawa setiap pesakit mungkin diberikan kombinasi rawatan yang berlainan bergantung kepada tahap kanser pesakit.
- Foto – Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV)
“Apabila kanser payudara dapat dikesan awal, peluang pesakit untuk sembuh untuk mencapai bebas kanser selepas tamat semua rawatan adalah tinggi. Oleh itu, amat penting untuk memeriksa payudara secara berkala,” tekan Dr Suziah.