Siapa yang tak mahu terbaik untuk penjagaan kulit bukan?
Bahan-bahan yang terbukti berkesan dan dapat memelihara kulit antara faktor kuat menjadikan produk kecantikan popular. Malah, sudah banyak produk kecantikan kini, terutamanya, produk penjagaan kulit ‘menjual’ bahan-bahan utama sebagai pelaris produk.
Namun kita tetap harus berhati-hati dalam memilih. Ini kerana kulit juga merupakan organ terpenting sama seperti organ jantung, hati dan buah pinggang. Ia memerlukan pertimbangan yang sama dalam menjaga kesihatan dan kesuburan kulit.
Jangan kerana mahu mencapai hasil flawless atau cerah sampai sanggup mengorbankan pengetahuan tentang kandungan bahan-bahan penting untuk skincare.
Ini bahan-bahan yang wajar untuk anda elakkan…
PEGs (polyethylene glycols)
Ia dikatakan mampu memberi iritasi pada kulit dan menyebabkan alergik. Jadi mereka yang berkulit sensitif, hati-hati jika ternampak bahan ini. PEGs biasa ditemui dalam produk losyen, krim dan penjagaan rambut.
Aluminium
Dahulu aluminium bahan yang cukup popular untuk produk mata (eyeshadow), lipstick atau deodoran. Namun terdapat kajian mengatakan kesan aluminium ternyata boleh beri kesan sampingan pada kesihatan. Dari keputusan kajian tahun 2015 oleh NIH, aluminium boleh meningkatkan pertumbuhan sel kanser payudara.
Tapi terdapat pula bahan seperti alumina atau aluminum hydroxide dikatakan tidak merbahaya. Ia bercanggah dari aluminium yang asal. Pada pendapat DIVA, sebaiknya cegah dari mengubati!
Formaldehyde
Ia tidaklah terlalu bahaya tetapi tetap boleh beri iritasi kulit dan alergik jika digunakan dengan kerap. Bahan ini biasa ditemui dalam produk sabun dan syampu. Nasihat DIVA, elakkan dari menggunakan produk pembersih atau mandian yang mempunyai formaldehyde.
Phthalates
Selidik dahulu bahan-bahan wangian anda! Phthalates merupakan bahan kimia yang digunakan untuk memastikan plastik tidak mudah reput. Ia juga digunakan didalam produk minyak wangi.
Kajian mendapati phthalates boleh menyebabkan masalah kesuburan, keguguran dan perubahan hormon badan.
Oxybenozone
Dr. Marianna Blumin-Karasik percaya oxybenozone boleh megganggu hormon dan menyebabkan pelbagai reaksi alergik pada kulit. Bahan ini boleh didapati dalam produk krim pelindung matahari (sunscreen).
Sebaiknya anda harus bijak memilih bahan-bahan yang sesuai dengan kondisi kulit. Malah kini terdapat banyak produk yang bebas dari sebarang bahan kimia atau lebih kepada organik.
Pilih produk yang senarai bahan yang ringkas, bagi yang kulit sensitif cari produk yang khas untuk anda dan paling penting jangan percaya dengan kesan produk pantas.