Kesihatan mental telah menjadi isu yang paling kritikal saat negara dilanda pandemik Covid-19. Rata-ratanya ramai baru sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan fungsi mental yang cerdas membawa gaya hidup yang lebih harmoni. Masalah mental yang stress dan lemah boleh berlaku pada sesiapa sahaja tak kira peringkat umur, jantina mahupun profesion kerjaya.
Sebenarnya ada cara yang boleh membantu bagi membendung masalah mental untuk jadi kritikal. Mungkin ada orang lebih suka meluah segalanya di media sosial kononnya untuk melepaskan stress atau ingin meminta pandangan orang lain. Namun cara begitu, tidak mendatangkan manfaat. Ini kerana media sosial adalah sebuah platform yang luas. Secara tidak langsung anda meluahkan masalah atau stress kepada seseorang yang anda langsung tidak kenali. Hasilnya anda mungkin terima kecaman atau nasihat yang tidak berasas.
DIVA cukup suka sekali untuk mengesyorkan anda untuk menulis jurnal atau dulu lebih dikenali sebagai diari. Ianya terbukti mampu mengimbangi semula minda kita untuk lebih stabil. Sekaligus membantu otak kita kembali mahir berfikir secara wajar atau melakukan refleksi harian. Malah, menulis jurnal lebih bersifat peribadi dan paling penting menjaga aib sendiri dan orang lain.
Contoh perkara yang anda boleh tulis didalam jurnal
- Apa jua perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian anda. Cari perkara yang anda suka dan tidak suka pada hari tersebut. Kemudian, tuliskan perkara yang anda mahu perbaiki dan pelajari.
- Berterus-terang sahaja didalam jurnal anda. Tak perlu pun ada ayat puitis atau tatabahasa yang tepat. Nak marah, ketawa, sedih dan jadi gila pun boleh!
- Menulis semula tentang memori atau pengalaman lama yang telah lama anda lupakan. Perkara yang anda syukuri, insan yang anda sayangi dan kenangan yang membuatkan anda ingin terus hidup positif.
Kelebihan jurnal untuk kesihatan mental
#1 Melepaskan tekanan yang dipendam
Apabila kita sedang menulis, secara tidak langsung kita sedang berkelana didalam fikiran yang sangat jauh. Trauma, pengalaman buruk atau peristiwa rahsia yang berlaku lebih mudah dilepaskan didalam jurnal. Kesannya ia membuatkan emosi lebih stabil dan boleh mengawal perasaan dengan lebih baik.
#2 Meningkatkan kesihatan fizikal
Saat kita melepaskan bentuk tekanan dalam penulisan. Tekanan dan aliran darah rendah, meningkatkan mood yang positif dan fizikal terasa lebih cerdas.
IKLAN
#3 Terapi kemurungan
Masalah kemurungan boleh berlaku jika ada pelbagai isu negatif yang diperam didalam benak anda. Anda boleh luahkan segala permasalahan, emosi negatif dalam jurnal anda. Bila menulis, kita akan lebih nampak punca dan keadaan sebenar. Kemudian anda boleh lakukan refleksi diri dan cuba mencari jalan solusi masalah tersebut.
#4 Mengenali diri sendiri lebih dekat
Sesi jurnal akan memberi hubungan baru terhadapa diri kita sendiri. Hasil dari menulis jurnal, anda dapat belajar tentang keutamaan diri, ketakutan, impian, kehendak dan keperluan hidup. Sebagai manusia, kita setiap hari akan berkembang dan jurnal membantu dan menjadi saksi dalam perubahan hidup.
Tak perlu keluar kos banyak pun untuk menulis jurnal. Sekadar ada buku, pen, pensil atau anda boleh menaip di laptop atau tablet. Peruntukkan 10 minit sehari dan anda akan dapat rasa beban di kepala akan ringan.
Selamat mencuba!