Tidak seperti jenama Fenty Beauty, Rare Beauty atau Kylie Cosmetics. Sebut sahaja pasti kita tahu empunya badan yang membawa jenama-jenama kecantikan ini.
Malah, ia cukup berjaya mendambat hati peminat serta pemain industri kecantikan hasil dari produk yang mengagumkan.
Sebenarnya di Hollywood ramai lagi selebriti yang mempunyai jenama kecantikan mereka sendiri. Cuma ia mungkin kurang mendapat perhatian media atau mereka lebih suka memasarkan pada pengguna di Hollywood.
Lihat senarai dibawah, agaknya ada tak yang anda dah tahu?
#1 Scarlett Johansson / The Outset

Dalam diam rupanya adiwira Black Widow mengeluarkan produk penjagaan wajah! Koleksi pertamanya ini cukup ringkas dengan produk rutin siang dan malam. The Outset memfokuskan bahan-bahan produk yang sedikit tapi sangat efisien memberi kesan. Baru sahaja lancar April lalu, produk-produk The Outset telah mendapat pelbagai reaksi positif dari pengguna. Antara produk terbaik dari The Outset ialah Nourishing Squalance Daily Moisturizer.
Layari: https://theoutset.com/
#2 Jessica Alba / Honest Beauty

Sebenarnya sudah lama pelakon Jessica Alba menginjak dalam dunia perniagaan kecantikan. Sejak tahun 2011 lagi, Honest Beauty telah berjaya menawan hati pencinta mekap. Ia kini bukan sahaja mempunyai pelbagai produk kecantikan, malah produk rumah, bayi dan mandian! Jessica cukup tegas dalam setiap pemilihan bahan dalam produknya. Hampir 2500 bahan tidak ketahui telah ditegah untuk digunakan dalam Honest Beauty.
Layari: https://www.honest.com/
#3 Millie Bobby Brown / Florence by Mills

Pelakon siri popular Stranger Things, Millie Bobby Brown melahirkan rangkaian produk kecantikan khususnya untuk golongan remaja. Pada mulanya, Florence by Mills mendapat ulasan yang kurang memuaskan. Lebih lagi, nama Millie baru sahaja meningkat naik tapi dah mula berniaga. Namun tak lama selepas itu, produk yang meriah dengan warna ungu ini mula mendapat sambutan. Sekarang Florence by Mills mempunyai produk kosmetik, penjagaan kulit dan rambut.
Layari: https://florencebymills.com/
#4 Gwyneth Paltrow / Goop Beauty

Kita sedia tahu tentang personaliti Gwyneth Paltrow yang sangat mementingkan gaya hidup sihat dan apa jua tentang produk bersih dan semulajadi. Maka dia sendiri mula mengasaskan syarikat berteraskan clean beauty iaitu Goop Beauty. Apa jua yang anda cari semuanya ada di Goop! Dari skincare, mekap, penjagaan rambut, badan dan banyak lagi. Terkini, Goop mengeluarkan lilin wangian hasil kerjasama Poosh milik Kourtney Kardasian.
Layari: https://goop.com/beauty/
#5 Alicia Keys / Keys Soulcare

Teringat dulu gempar bila Alicia Keys mengambil keputusan untuk berhenti memakai mekap sekitar tahun 2016. Tapi bukanlah tak pakai langsung, cuma Alicia mengambil pendekatan untuk memakai mekap yang minimal dan lebih fokus pada penjagaan kulit. Tahun 2021, Alicia bersama syarikat E.L.F membawa masuk Keys Soulcare sebagai produk ritual muka yang kaya dengan bahan semulajadi dan menawarkan produk yang juga memberi kebaikan pada mental.
Layari: https://www.keyssoulcare.com/
#6 Jennifer Lopez / JLo Beauty

Memang dah lama JLo mempunyai jenama kecantikannya sendiri tapi kadang ia tenggelam timbul. JLo Beauty menawarkan penjagaan kulit untuk wanita berusia 30 tahun keatas. Kebanyakan produk JLo Beauty amat mementingkan penghidratan, keanjalan dan keserian kulit.
Layari: https://www.jlobeauty.com/
Agaknya selebriti yang mana anda paling tak sangka ada jenama produk kecantikan? Kongsikan dengan DIVA!