Kalau tak pernah dengar atau kunjungi Gula Cakery, inilah masa untuk kamu berbuat demikian!
Gula Cakery merupakan sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri, makanan Barat serta Asia hingga ke aiskrim. Kafe ini terletak di enam lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang.
Rangkaian kafe ini sebenarnya bermula daripada sebuah impian seorang wanita yang bernama Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal. Disebabkan beliau terlalu minat dan ‘obses’ dengan baking, maka terciptalah Gula Cakery yang menjadi impiannya sejak usia remaja lagi.
Jom baca perkongsian Arieni dengan DIVA di bawah;
Minat Bermula Dari Rumah
Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Arieni memulakan perniagaannya seawal usia 20 tahun. Ketika itu Arieni menumpang dapur ibunya bagi menyiapkan tempahan sambil mengajar baking.
- Foto – Gula Cakery
“Semuanya bermula dari dapur ibu saya. Ketika itu saya akan kutip yuran sebanyak RM300 seorang dan kumpul sebanyak RM30 sehari untuk bayar bil elektrik.”
Disebabkan terlalu banyak tempahan dan jumlah pelajar makin ramai, Arieni mengambil keputusan untuk mencari sebuah kedai untuk teruskan minatnya itu selepas 3 tahun.
Dari Gula Home Bakery Ke Gula Cakery
Pada awalnya Arieni mendedahkan dia telah menggunakan nama Gula Home Bakery kerana dia bermula dari rumahnya. Kemudian namanya itu ditukar menjadi Gula Cakery kerana fokusnya pada pembuatan kek dan pastri.
- Foto – Gula Cakery
“Saya cipta nama Gula Cakery ini pun berdasarkan minat dan fokus saya terhadap pembuatan kek dan pastri. Sebab itulah ia jadi Gula Cakery dan bukannya ‘Bakery’ yang fokus pada pembuatan roti.”
Untuk kedai pertamanya pada tahun 2015, Arieni telah menjadikan kedainya sebagai kafe dan kelas belajar baking dalam satu masa yang sama. Katanya di bahagian atas merupakan kafe dan bahagian bawahnya pula adalah kelas.
IKLAN
Paris Pencetus Segalanya!
Sebelum pembukaan kedai pertamanya, Arieni mendedahkan beliau telah pergi ke Paris untuk belajar dengan sendirinya tentang pembuatan kek dan pastri yang betul. Pada usianya yang muda, beliau telah mengambil kursus pendek selama 3 minggu untuk mahir dengan resepi yang diajar.
- Foto – Gula Cakery
“Masa itu tak ramai pergi ke Paris untuk belajar. Jadi saya ambil short course selama 3 minggu untuk belajar kek dan pastri. Dan bila balik Malaysia, saya apply semua yang saya belajar di sana.”
Kalau kamu nak tahu, semua menu di Gula Cakery sekarang ini merupakan menu asal yang dibelajar oleh Arieni semasa kursus pendeknya di Paris tau!
Idea ‘Geliga’ Arieni Untuk Perniagaannya
Berkat usahanya Arieni kini mempunyai enam cawangan yang terletak di kawasan Lembah Klang. Dan disebabkan ideanya yang mencurah-curah, wanita ini mengambil peluang untuk kembangkan perniagaannya ke bahagian aiskrim dan pelbagai jenis makanan.
- Foto – Gula Cakery
“Saya nak kafe saya jadi one stop centre di mana semua jenis makanan, pastri dan kek, aiskrim dan segalanya ada di satu tempat.”
Antaranya adalah empat kedai ais krim iaitu Gula Creamery yang terdiri daripada perisa keknya sendiri. Kemudian, kedai roti jala iaitu Arieni’s Roti Jala yang terletak di Setia Alam dan juga kedai makanan Mexico.
Waktu Sukar Jadi Pembakar Semangat
Bila bercakap tentang waktu sukar, Arieni mengatakan waktu sukarnya bermula apabila dia mahu mencari dan mengumpul modal untuk pembukaan kedainya.
“Saya kena masuk pertandingan, buat permohonan pinjaman dan sebagainya untuk mencukupkan modal. Dan saya juga beruntung kerana duit simpanan saya ketika awal perniagaan ini berjaya bantu saya.”
Untuk skop pembekal pula, Arieni memberitahu tak mudah sebenarnya untuk mendapat pembekal. Tetapi dari situlah dia cuba belajar dan bina kepercayaan untuknya dan juga pembekal.
Buat yang belum kunjungi Gula Cakery, DIVA syorkan untuk kamu nikmati pastri dan kek serta makanan lain di kafe ini. Sangat berbaloi!