Tahukah kamu, laporan Kumpulan Bank Dunia menunjukkan sekurang-kurangnya 500 juta wanita dan gadis di seluruh dunia menghadapi ‘kemiskinan haid’.
Ini bermaksud mereka kekurangan atau ketiadaan kelengkapan sanitasi bagi menguruskan haid. Kesannya, mereka bukan sahaja kurang pengetahuan tepat tentang haid, tetapi juga kurang cakna tentang cara terbaik untuk menguruskan kebersihan haid.
- Foto – Dr. Azizah binti Rusly, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Hospital Aurelius Nilai
Justeru, sempena Bulan Kesedaran Haid, Dr. Azizah binti Rusly, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Hospital Aurelius Nilai merungkai beberapa mitos tentang haid yang biasa kedengaran.
“Wajib membasuh tuala wanita kerana darah najis dan akan ‘menjemput’ kedatangan jin.”
Darah haid tiada beza dengan darah lain dalam badan kita. Ia terdiri daripada darah, membran rahim, lapisan mukus dan bakteria. Sungguhpun ia kadangkala kelihatan bergumpal atau lebih gelap, kejadian sedemikian adalah normal.
Tuala pakai buang hendaklah dibungkus rapi dan dibuang selepas digunakan. Namun, sekiranya kamu menggunakan tuala boleh guna semula atau cawan haid, rendamkannya dengan air sejuk dan basuh dengan detergen biasa, soda penaik atau cuka. Pastikan ia kekal kering bagi mencegah jangkitan kuman.
“Tampon akan merosakkan selaput dara.”
Meskipun tampon boleh menyebabkan sedikit regangan atau koyakan pada selaput dara, namun ini juga boleh berlaku apabila kamu melakukan aktiviti lasak.
IKLAN
- Foto – Hello Sehat
Pada mulanya, sebilangan wanita mungkin akan mengalami ketidakselesaan ketika memasukkan tampon. Namun, keadaan ini adalah sementara dan akan bertambah baik!
“Elak makanan atau minuman sejuk kerana ia memburukkan lagi pendarahan.”
Hakikatnya, tiada kajian membukti atau menyangkal kaitan antara minuman/makanan sejuk dengan senggugut.
Sungguhpun demikian, sesetengah wanita lebih sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk, yang mungkin akan mencetuskan atau memburukkan lagi senggugut. Jadi, kamu harus peka dengan badan sendiri.
“Ada kata, meletakkan tuala yang telah dibasuh pada muka dapat memberikan kulit yang cantik.”
Tidak benar sama sekali, kerana sisa atau produk haid harus dibuang dengan cara yang betul. Dan cara memperoleh kulit bersih bergantung pada senis kulit seseorang. Amalkan diet yang sihat lagi seimbang untuk menjadi versi terbaik anda.
- Foto – Campaign Asia
Dah jelas? Kalau masih musykil, rujuk pakar. Untuk maklumat lanjut tentang kepentingan kebersihan haid, ikuti kempen #RespectMyCycle anjuran Aurelius Healthcare di Facebook, Instagram, dan LinkedIn.