DIVA yakin tak semua orang tahu ada beberapa produk skincare tak boleh dipadankan sekali ketika lakukan rutin penjagaan wajah. Seperti contoh nak tangani masalah penuaan, ada yang gunakan retinol, Vitamin C dan peptide dalam satu masa.
Bukan apa, daripada menangani satu masalah, bila padankan kesemua produk akan timbulkan masalah kulit yang lain seperti kemerahan, keradangan dan banyak lagi.
Nak tahu tak produk apa yang tak sesuai dipadankan bersama ketika lakukan rutin penjagaan wajah?
-
Retinol & Vitamin C
Best tentang kedua-dua produk ini, ia boleh melawan radikal bebas dan kedutan selain merangsang kolagen untuk jadikan wajah makin awet muda serta lembap.
Tapi kedua-duanya tidak boleh digunakan sekali kerana ia mempunyai pH yang bebeza. Jadi bila pH berbeza dan gunakan dalam satu masa, kamu akan dapati kurang keberkesanannya.
-
Retinol & AHA/BHA
AHA dan BHA? Kedua-duanya adalah bahan berasid dan ada sifat pengelupasan. Retinol (Vitamin A) pula ada keupayaan untuk tukar sel kulit.
Sekiranya gunakan kedua-dua produk ini sekali, kamu boleh menyebabkan kulit wajah jadi terlalu kering, kerengsaan dan kemerahan. Lebih-lebih lagi bila ada kulit yang sensitif.
Nak gunakannya, DIVA syorkan untuk guna asid AHA/BHA pada waktu pagi dan retinol pada waktu malam. Atau gunakan secara berselang-seli setiap hari.
-
Retinol & Benzoyl Peroxide
Info untuk kamu, retinol membantu mengurangkan kedutan dan boleh rawat jerawat. Manakala Benzoyl Peroxide (BP) pula ada kesan bakteria untuk tangani jerawat.
Bila gunakan kedua-dua produk ini sekali, kamu boleh kurangkan pori tersumbat dan kurangkan jerawat Tetapi kesannya yang lain, kulit akan jadi mengelupas hingga kemerahan serta kerengsaan. Jadi pilih salah satu kalau nak gunakannya.
-
Vitamin C & Niacinamide
Individu yang alami sunburn atau kemerahan, jangan padankan Vitamin C dan niacinamide (Vitamin B3) dalam satu masa. Ini kerana padanan produk ini akan buatkan wajah menjadi kebas sementara.
Jadi DIVA syorkan untuk gunakan dua produk ini secara berselang-seli pada setiap hari atau minggu. Tapi kalau nak gunakan kedua-duanya dalam satu masa, tunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas aplikasikan salah satu produk.
-
Vitamin C & Benzoyl Peroxide
Kita tahu Benzoyl Peroxide (BP) adalah produk terbaik untuk tangani dan larutkan jerawat walaupun ianya agak kasar pada kulit. Bila padankan dengan Vitamin C, kamu akan dapati kulit wajah rasa seperti terbakar, kemerahan, gatal dan iritasi.
Saranan DIVA, rawat dahulu masalah jerawat sehingga selesai dan kemudian gunakan Vitamin C untuk hilangkan bintik hitam dan cerahkan kulit wajah.
Nak wajah makin cantik dan flawless, elakkan campur kedua-dua produk di atas secara sekali okay?