Tinggi lampai dan berwajah ayu, wanita ini sangat berbakat dan berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Fariha Razak merupakan salah satu atlet skuad bola jaring Malaysia yang berjaya merangkul pingat emas dan menewaskan pasukan lawan, Singapura.
Sebelum bercerita lebih lanjut, ada yang tidak kenal ke dengan wanita bernama Fariha Razak ini?
Kenali Si Pantas, Fariha Razak
Fariha atau nama sebenarnya Nurfariha Abdul Razak adalah seorang atlet bola jaring kebangsaan. Pada masa yang sama, dia juga seorang penyampai berita sukan di Astro Arena.
Walaupun memiliki ketinggian hanya sekitar 165cm berbanding rakan skuad bola jaringnya, Fariha dikatakan memiliki banyak kelebihan. Yang menariknya, kelebihannya ini membuatkan dia sentiasa dipilih untuk beraksi oleh jurulatih.
“Kelajuan dan kekuatan menguasai bola”- Dua kelebihan ini yang membuatkan Fariha layak berada dalam skuad kebangsaan. Dikongsi oleh Fariha kelebihan ini meletakkannya sebagai pemain tengah yang tidak memerlukan ketinggian yang spesifik.
Selain Berjaya Dalam Sukan, Akademiknya Juga Cemerlang
Selain berjaya dalam bidang kesukanan, Fariha juga tidak pernah melupakan akademiknya.
Untuk pengetahuan kamu, Fariha merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada tahun 2019. Semasa majlis konvokesyennya, dia telah menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Haji Hashim.
Untuk menjadi pelajar cemerlang, wanita ini mendedahkan dia terpaksa berkorban dan menangguhkan pengajiannya selama setahun. Pengorbanan itu dilakukan kerana mengikuti latihan temasya Sukan SEA 2017.
“Tiada jalan pintas dalam mengejar kejayaan kecuali melalui usaha keras dan cekal dalam setiap perkara. Selain dorongan pensyarah, rakan adalah individu yang banyak membantu saya ketika saya tidak dapat hadir ke kuliah kerana pertandingan.”
Walaupun perlu berkorban kerana komitmen sebagai atlet negara, Fariha tetap berhempas pulas dalam menyiapkan tugasannya sebagai pelajar. Menjadi atlet tidak menjadi penghalang malah membakar semangatnya untuk berjaya sebagai pelajar cemerlang.
Sangat memberi inspirasi, semoga kekal menyerlah Fariha!