Tak mudah untuk menjadi seorang ballerina yang menutup auratnya, tetapi gadis berusia 20 tahun ini berjaya membuktikan sebaliknya.
Stephanie Kurlow yang berdarah kacukan Rusia-Australia telah diberi gelaran Ballerina Hijab Pertama di dunia. Kegigihan dan keazamannya dalam bidang tarian balet dan menutup aurat memberi inspirasi kepada ramai wanita.
Sebelum itu, mari kita kenali siapakah gadis di sebalik nama Stephanie Kurlow.
Kenali Si Senyuman Manis, Stephanie Kurlow
Stephanie Kurlow adalah seorang penari Australia dan pelajar tarian balet. Sama seperti penari balet yang lain, Stephanie mula mempelajari tarian ini pada usianya yang masih muda iaitu 2 tahun.
Ketika itu bakatnya dicungkil dan digilap sehinggalah dia berusia 11 tahun. Ini kerana dia mengambil keputusan untuk memakai tudung dan kebanyakan studio tarian tidak mahu menerimanya sebagai pelajar.
Selepas keluarganya memeluk agama Islam, Stephanie turut mengikuti jejak langkah ibu bapanya pada usia 9 tahun.
Selepas tiada sebarang studio tarian mahu menerima Stephanie, ibunya mula membuka studio tarian untuk membolehkan dia terus berlatih tarian balet.
Kegigihan & Keazaman Yang Tinggi Cetus Inspirasi
Tidak mahu orang lain mengalami pengalaman yang sama sepertinya, Stephanie turut bercita-cita tinggi untuk membuka studio tarian yang membolehkan sesiapa sahaja menari tanpa halangan.
Selain berbakat dalam tarian balet, Stephanie juga mempunyai minat dalam industri kreatif seperti bidang penulisan dan lukisan. Yang menariknya, dia telah mengambil cuti selama 3 tahun untuk beri tumpuan penuh pada bidang ini.
Pada masa yang sama, dia juga turut menyertai kumpulan muzik kanak-kanak Australia iaitu The Wiggles yang menjelajah seluruh Australia.
Menjadi inspirasi pada golongan remaja, Stephanie pernah terlibat dengan kempen seperti Converse dan Lenovo. Dalam kempen tersebut, dia telah memberi semangat pada golongan ini untuk terus mengejar cita-cita tanpa menghiraukan cabaran dan dugaan yang dihadapi.
Psst… Gadis ini juga pernah menerima biasiswa daripada jenama fesyen sukan Sweeden, Björn Borg kerana kisahnya tau. Hebat kan?