BMW Malaysia hari ini telah memperkenalkan BMW X3 dalam tiga varian baharu, bersama dengan varian terbaharu BMW X4 di dalam negara. BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport bersama BMW X4 xDrive30i M Sport buat julung kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi,
“Sementara kita melangkah ke tahun 2022 yang bakal diwarnai dengan pelbagai kemungkinan elektrifikasi, BMW Group Malaysia juga teruja untuk memperkenalkan jentera BMW X3 berelektrik kami yang dipasang di dalam negara buat kali pertamanya.
“Di samling itu juga, pelbagai opsyen rangkaian kuasa bagi mereka yang ingin merasai pengalaman pemanduan yang berbeza. Ia mencerminkan janji kami untuk meletakkan Kuasa Pilihan di tangan para pelanggan menerusi aneka jentera petrol, hibrid ‘plug-in’ (PHEV) dan elektrik tulen di Malaysia.
Dinamakan sebagai dua model yang paling popular di dunia, BMW X3 dan BMW X4 bakal menaikkan tanda aras dalam segmen SAV premium dengan reka bentuk sporty miliknya yang penuh sofistikasi, banyak ciri-ciri dan perwatakan pemanduan yang terkini, serta rangkaian kuasa tambahan untuk menterjemahkan Kenikmatan Pemanduan Sempurna yang dijanjikan oleh BMW dalam pelbagai bentuk.
BMW X3- Kredit Foto: BMW
Setelah melalui beberapa iterasi dari segi visual, BMW X3 dan BMW X4 hadir dengan iras sporty yang menampilkan gril ‘kidney’ lebih besar dengan sambungan perangkai di tengah, rekaan apron hadapan baharu dengan salur masuk udara vertikal, bamper baharu, lampu hadapan yang dilangsingkan sebanyak 10 mm, didatangkan dengan teknologi LED penuh.
Bonet yang sedikit menaik, rungkup hadapan yang singkat serta siluet jentera ini yang berbentuk tirus menyerlahkan dinamik pemanduannya yang luar biasa. Versi hibrid plug-in jentera BMW X3 mudah dicam dengan port pengecasan yang terletak di belakang roda kiri hadapan.
Meskipun dimensi varian-varian baharu yang dipasang di Malaysia ini masih sama, BMW X3 baharu kini akan menampilkan roda aloi yang diubah suai dengan saiz sehingga 20 inci, termasuk lampu belakang LED penuh dengan kontur tiga dimensi di sekelilingnya, di samping paip ekzos yang lebih besar.
BMW X4 baharu pula mengekalkan garis bumbung persis coupe dan akan dilengkapi dengan komponen pemantul berkedudukan vertikal serta bamper belakang dengan sisipan baharu.
BMW X4- Kredit Foto: BMW
BMW X3 dan BMW X4 akan didatangkan dengan bibir ekzos berbentuk bebas. Pakej M Sport, yang disediakan sebagai standard dalam varian-varian BMW X3 dan BMW X4 baharu menaik taraf kelengkapannya, turut hadir dengan pelbagai konfigurasi kenderaan yang diperhalusi.
Ia dapat dilihat pada komponen salur masuk udara dan apron hadapan pada kedua-dua model, berserta dengan tawaran warna, rim dan kemasan trim interior yang baharu.
Aneka rangkaian kuasa yang serba komprehensif
BMW X3 baharu akan hadir dalam dua varian petrol – sDrive20i dan xDrive30i, di samping varian berelektrik, xDrive30e. Masih menguasakan BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i baharu ialah enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kk dan puncak tork bernilai 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 kk dengan puncak tork bernilai 350 Nm bagi xDrive30i.
BMW X3 sDrive20i berupaya untuk membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j, manakala BMW X3 xDrive30i mampu memecut dari 0-100 km dalam masa 6.3 saat pada kelajuan tertinggi mencecah 240 km/j.
Transmisi dibekalkan kepada BMW X3 sDrive20i dalam bentuk Automatic Steptronic 8 kelajuan dengan Fungsi Pengekalan Automatik, manakala BMW X3 xDrive30i dilengkapi dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan.
Sebagai alternatif, BMW X3 xDrive30i baharu menggandingkan jarak operasi enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan motor elektrik berkuasa tinggi dan bateri yang mempunyai kapasiti kasar berjumlah 12 kWj untuk membekalkan jarak operasi sejauh 50 kilometer (WLTP) dalam mod elektrik sahaja – menjanjikan pengalaman pemanduan sporty yang tiada bandingannya dengan output emisi yang lebih rendah.
- BMW X3
- BMW X4
Kesemua varian BMW X3 akan didatangkan dalam aneka kombinasi warna interior dan eksterior, ia meliputi tawaran eksterior Alpine White, Brooklyn Grey, Phytonic Blue atau Carbon Black – yang kesemuanya dipadankan dengan Leather Vernasca Black dengan sulaman biru di dalam. Para pemilik juga boleh memilih interior Leather Vernasca Mokka dengan tawaran eksterior Alpine White dan Carbon Black.
BMW X4 pula akan disediakan dalam Alpine White, Piemont Red, Phytonic Blue dan Carbon Black – kesemuanya juga disinambungkan dengan Leather Vernasca Black dengan sulaman berkontras. Sebagai alternatif, pemilik juga boleh memilih Leather Vernasca Tacora Red dengan tawaran eksterior Alpine White dan Carbon Black.
Harga jualan bagi varian-varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu dengan BMW Service and Repair Inclusive, tanpa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
- BMW X3 sDrive20i M Sport Baharu RM 315,800.00
- BMW X3 xDrive30i M Sport Baharu RM 358,800.00
- BMW X3 xDrive30e M Sport Baharu RM 356,800.00
- BMW X4 xDrive30i M Sport Baharu RM 398,800.00
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bmw.com.my.