“Pagi nak buat omelette. Pecah telur 2 biji terkejut pula 2 biji telur ini berbeza. Nak tanya kenapa telur ayam ni 1 kuning 1 oren?”
Pernah tak kamu alami perkara yang sama seperti di atas? Kalau pernah jangan terkejut pula ia adalah normal sebenarnya.
Nak tahu kenapa berlakunya perbezaan warna pada telur tersebut, berikut adalah maksudnya dari segi sains…
Apa Fungsinya Kuning Telur?
Setiap telur wajib mempunyai kuning telur.
Fakta untuk kamu kuning telur mempunyai pelbagai nutrien yang baik untuk kesihatan badan seperti protein, lipid, kolestrol, mineral, vitamin dan provitamin.
Pada masa yang sama kuning telur juga merupakan satu bahagian di mana embrio akan terbentuk jika ovum disenyawakan. Bila terbentuknya embrio, kuning telur akan bekalkan nutrien berikut secara langsung padanya. Jadi hasilnya terbentuklah seekor anak ayam yang sihat.
Rahsia Di Sebalik Warna Kuning Telur Yang Berbeza
Bagi yang tertanya-tanya bagaimana kuning telur dihasilkan, mari Wanista kongsikan serba sedikit mengenainya.
Pertama sekali, warna kuning telur terbentuk dan terjadi disebabkan oleh kehadiran pigmen carotenoids yang diperolehi daripada diet yang dimakan oleh ayam atau secara semula jadi. Pigmen-pigmen ini akan berikan warna yang kekuningan hingga kemerahan pada kuning telur.
Tapi jika kamu perasan perbezaan warna kuning telur ada yang cair atau oren, semuanya bergantung pada komposisi carotenoids yang ada dalam kuning telur tersebut.
Fakta menarik:
(1) Jika ada pigmen carotenoids seperti lutein dan zeaxanthine, warna kuning telur akan lebih kekuningan.
(2) Tapi kalau ada pigmen carotenoids seperti canthaxanthin, capxanthine dan capsorubin, warna kuning telur akan jadi lebih gelap seperti kemerahan atau keorenan.
Betul Ke Lebih Gelap Warna Kuning Telur, Lebih Bagus?
Cuba tanya sesiapa sahaja, mesti ramai yang akan pilih warna kuning telur yang lebih gelap berbanding cerah. Katanya ada nilai nutrisi yang lebih tinggi dan berkualiti.
Sebenarnya warna kuning telur gelap atau cerah bukanlah penanda ianya telur yang bernutrisi atau berkualiti. Ini kerana perubahan tersebut terjadi disebabkan oleh pigmen carotenoids.
Jika ada telur yang meletak label komposisi Omega 3, Omega 6, lipid atau kolestrol pada pembungkusannya, penting untuk kamu tahu ianya tidak berkaitan dengan warna kuning telur.
Walaupun pigmen ini merupakan satu antioksidan yang baik, tetapi ada juga yang bersifat pro-vitamin A. Iaitu boleh dicerna dalam tubuh untuk menjadi vitamin seperti beta-carotene dan β-cryptoxanthin bagi menghasilkan warna telur kuning yang gelap.
Manakala jika telur tersebut tinggi dengan kandungan Vitamin A dan retinol, telur akan menghasilkan kuning telur yang berwarna kuning cerah.
Kalau lepas ini nak beli telur, jangan pilih-pilih ye sebab warna kuning telur tidak membawa maksud ianya berkualiti atau tinggi nutrien. Selamat beramal!