Sumpah terliur bila tengok scene makan-makan dalam K-Drama. Selain bimbap dan jachae, ramai juga rupanya yang teringin nak makan kimchi.
Kadang kala bila beli di luar, satu paket kimchi dijual dengan mahal. Sudahlah mahal ada pula yang tak kena dengan tekak, memang membazirlah!
Jangan risau, kali ini Wanista nak kongsikan satu resepi kimchi yang hanya berharga RM10 sahaja. Yang paling penting memang sedap dan kena dengan tekak Melayu.
Bahan-bahan:
- 1 biji kubis Cina – saiz sederhana besar
- 1 biji lobak merah – hiris nipis
- 1 biji lobak putih – hiris nipis
- 1 genggam daun bawang – potong sederhana panjang
- 5 ulas bawang putih *
- 1 biji bawang Holland *
- 1 inci halia *
- 5 sudu besar sos ikan *
- 2 sudu kecil gula merah *
- 3 sudu besar tepung beras – dimasak *
- Garam halus
- 3/4 cawan serbuk cili
Cara-caranya:
- Kubis Cina dipotong 4 dan basuh bersih setiap helaian sebelum direndam dalam air selama 30 minit.
- Toskan kubis dan lumur rata garam di setiap helaian daun kubis. Letak dalam bekas dan rehatkan selama 2 jam.
- Panaskan periuk kecil dan masukkan 1/2 cawan air dan 2 sudu tepung beras. Masak sampai likat, matikan api dan sejukkan.
- Bahan bertanda (*) masukkan dalam pengisar dengan bancuhan tepung beras. Kisar sehingga halus.
- Kemudian ambil bahan kisar ke dalam satu bekas.
- Serbuk cili masukkan dalam bahan kisar dan gaul rata sehingga jadi pes pekat.
- Masukkan potongan lobak dan daun bawang. Gaul rata.
- Kubis perap boleh dibasuh sehingga rasa masin dihilangkan. Perah sehingga air dari kubis kering.
- Potong kubis pada 3 bahagian atau lebih kecil dan masukkan dalam pes kimchi.
- Kacau rata sampai kubis bersalut pes dan simpan dalam bekas di peti sejuk.
(P/s: Kimchi boleh dimakan dengan segera atau simpan selama 2-3 hari. Taburkan dengan bijan sangai untuk rasa yang lebih sedap.)
Jadi itulah kimchi versi tekak Melayu. Memang mudah dan paling penting boleh makan banyak kali. Selamat mencuba!