Menjadi trend dalam kalangan penjual, masing-masing mula menjual makanan yang berwarna-warni. Tambah-tambah lagi roti jala, memang meriah warnanya!
Tetapi pernah tak kamu tertanya-tanya adakah makanan berwarna-warni ini berbahaya atau tidak? Terutamanya pada kanak-kanak? Jika kamu nak tahu lebih lanjut, jom baca kupasan di bawah.
Apa Sebenarnya Pewarna Makanan?
Selain daripada warna makanan semula jadi, kamu boleh gunakan pewarna makanan untuk mendapatkan warna yang kamu inginkan. Dipetik daripada MyHealth, pewarna makanan adalah bahan aditif yang selamat dimakan.
Penggunaan pewarna dalam makanan adalah bertujuan untuk tingkatkan kualiti dan persembahan makanan dari segi tekstur, warna, rupa dan rasa. Malah proses mewarnakan makanan ini sudah lama dilakukan untuk menyedapkan, mengawet dan mengekalkan kualiti sesuatu makanan.
Pewarna Makanan Bahaya Ke Pada Kanak-Kanak?
Sebagai ibu bapa, ramai yang menggunakan makanan warna-warni ini sebagai umpan untuk membuatkan anak-anak makan. Walaupun trik ini berjaya, tapi adakah kamu tahu pewarna makanan ini sebenarnya bahaya pada kanak-kanak?
Berdasarkan kajian WebMD, kanak-kanak hiperaktif dan ADHD cenderung untuk mengalami perubahan sikap selepas makan makanan yang mengandungi pewarna makanan. Antaranya mereka menjadi terlampau aktif, berubah sikap dan ketagihan terhadap gula.
Sementara itu, ada juga segelintir kanak-kanak yang mengalami alahan yang teruk. Serta ada juga yang mengalami masalah untuk tidur.
IKLAN
Apa Kesan Pewarna Makanan Pada Kesihatan?
Walaupun pewarna makanan sudah digunakan beratus tahun yang lalu, tetapi ada beberapa risiko dan kesannya pada kesihatan kita. Antaranya adalah;
- Boleh menyebabkan tindak balas keradangan dalam badan di mana sistem kekebalan badan diganggu sehingga sistem imun sukar untuk pertahankan badan daripada melawanya.
- Sebilangan pewarna makanan (Red40, Yellow5 dan Yellow6) dicemari dengan carcinogens atau bahan penyebab kanser seperti 4-aminobiphenyl, 4-aminoazobenzene dan benzidine. FDA menyatakan bahan cemar dalam pewarna ini berada di tahap yang selamat.
- Red40 mencetuskan hipersensitiviti pada kanak-kanak. Manakala Yellow5 berkait rapat dengan hiperaktif, hipersensitiviti dan kesan tingkah laku tidak baik pada kanak-kanak.
Lebih Baik Gunakan Pewarna Semula Jadi
Selain daripada pewarna makanan di pasaran, kamu juga boleh menyediakan pewarna semula jadi di rumah. Bukan sahaja baik untuk kesihatan kamu, malah juga kanak-kanak.
Antara pewarna semula jadi yang boleh kamu lakukan sendiri adalah;
- Warna merah – boleh gunakan beetroot atau jus delima
- Warna kuning – rempah saffron atau serbuk kunyit
- Warna biru atau ungu – boleh gunakan bunga telang
- Warna oren – sesuai gunakan lobak merah
Walaupun pewarna makanan tidak berbahaya dan boleh digunakan, kamu sangat digalakkan untuk mengambil makanan semula jadi daripada bermacam-macam warna. Sekali sekala tak apa okay.
Selamat beramal!