Pernah tak kamu diet bagai nak rak siang malam, cut makan sehinggalah bersenam tapi bila timbang berat langsung tak turun? Paling geram sekali, berat tetap sama seperti sebelum diet.
Untuk pengetahuan kamu walaupun sudah menjaga pemakanan dan amalkan senaman, secara biologinya ada 9 hormon yang perlu kamu ambil perhatian. Ini kerana hormon-hormon ini menjadi punca utama untuk tentukan berat berjaya diturunkan atau tidak.
Nak tahu bagaimana nak kawal 9 hormon ini dan turunkan berat badan dengan lancar? Jom baca perkongsian di bawah!
Insulin
Adakah kamu tahu hormon insulin merupakan penyebab utama berat badan susah nak turun? Hormon ini berfungsi sebagai ‘tempat penyimpanan’ lemak yang terbesar dalam badan manusia.

Insulin dihasilkan oleh sel beta pankreas dan ia membolehkan sel dalam badan mengambil gula dalam darah untuk digunakan atau disimpan sebagai tenaga.
Kalau nak turunkan berat badan dan kawan hormon insulin, kamu boleh elakkan makanan yang tinggi dengan gula serta karbohidrat. Cara ini boleh selaraskan tahap insulin dan bantu kawal berat badan dengan lebih berkesan.
Kortisol
Dihasilkan oleh adrenal, hormon kortisol dikeluarkan apabila kamu berada dalam keadaan tertekan atau cemas. Apabila situasi seperti itu terjadi, secara semula jadi badan kamu akan menyimpan makanan sebagai tenaga bagi elakkan kelaparan.
Bagi atasi situasi berikut, cuba dapatkan tidur yang mencukupi selain makan makanan yang seimbang serta meditasi untuk menenangkan diri.
Estrogen
Berbanding lelaki, wanita lebih cenderung miliki hormon estrogen yang tinggi. Hormon ini dihasilkan oleh ovari secara berlebihan dan ia menjadi hormon seks yang penting untuk wanita.
Jika paras estrogen kamu naik dan turun dengan tidak stabil, proses kegemukan secara semula jadi boleh terjadi. Jadi nak kawal estrogen, kamu boleh cuba makan makanan yang berasaskan serat. Atau boleh tambahkan dengan senaman selama 30 minit setiap hari.
Leptin
Sebenarnya sel-sel lemak dalam badan kita menghasilkan hormon leptin, iaitu hormon yang berfungsi dalam mengurangkan selera makan dan membuatkan kita menjadi kenyang dengan cepat.
Jika kamu berjaya menghasilkan hormon leptin dengan lebih banyak melalui jumlah makanan yang sedikit, misi untuk turunkan berat badan kamu akan berjaya!
Caranya mudah sahaja, kamu perlu mengira jumlah kalori dalam pengambilan makanan kamu setiap hari. Elakkan minuman bergula, lemak trans dan seangkatan dengannya.
Ghrelin
Pernah terfikir tak kalau kamu berasa lapar itu disebabkan oleh hormon apa? Kalau nak tahu, hormon ghrelin adalah hormon yang menghantar isyarat kepada otak untuk beritahu kamu sedang lapar.
Paras tertinggi hormon ini dirembeskan pada sebelum makan dan paling rendah selepas makan. Tetapi mereka yang obes atau berat badan berlebihan lebih cenderung memiliki paras ghrelin yang rendah berbanding individu berat badan normal.
Melalui hormon ini, kamu dapat turunkan berat badan dengan mengurangkan makanan dan minuman bergula. Malah gantikan dengan pengambilan protein yang tinggi.
Peptide YY (PYY)
Nak turunkan berat badan dan kawal selera makan, kamu perlu pastikan badan mempunyai hormon Peptide YY (PYY). Hormon ini dihasilkan oleh usus dan berfungsi dalam mengurangkan risiko kegemukan. Nak hasilkan hormon ini, kamu boleh makan makanan berasakan protein, serat, lemak sihat dan diet rendah karbohidrat.
Neuropeptide Y (NPY)
Hormon Neuropeptide Y (NPY) ini dirembeskan di otak oleh sistem saraf pusat. Ia berfungsi untuk mencetuskan selera makan. Kalau nak kurangkan atau kawal hormon ini, kamu boleh makan secara berkala untuk elakkan daripada makan secara berlebihan.
Cholecystokinin (CKK)
Pernah tak rasa mengidam sangat dan terlalu lapar? Kalau kamu nak tahu, kedua-dua rasa itu boleh dikawal melalui hormon Cholecystokinin (CKK).
Untuk tingkatkan pengeluaran hormon ini, perbanyakkan pengambilan makanan berprotein, serat dan lemak sihat. Confirm berat badan turun dengan cepat!
Glucagon-Like Peptide-1 (GLP-1)
Akhir sekali, hormon Glucagon-Like Peptide-1 (GLP-1) adalah hormon yang dihasilkan di sistem penghadaman, perut dan usus. Untuk pengetahuan kamu, hormon ini berfungsi dalam mengatur tahap gula dalam darah dan mengurangkan selera selepas makan.
Untuk mengawal hormon ini, kamu boleh banyakkan pengambilan sayur-sayuran hijau, makanan tinggi protein dan priobiotik secara berkala. Melalui makanan ini, kamu dapat tingkatkan ‘gut flora‘ iaitu bakteria sihat yang dapat mengatur hormon dengan lebih baik!
Jadi kalau lihat berat badan tak turun-turun selepas berdiet dan bersenam, cuba beri perihatian pada 9 hormon yang Wanista kongsikan di atas. Selamat beramal!