Pernah tak duduk berjam-jam lamanya, pinggul kamu rasa sakit sangat?
Kalau pernah alami stuasi seperti ini, berkemungkinan besar postur duduk kamu tidak betul sehingga ia memberikan tekanan yang kuat pada bahagian pinggul.
Buat macam-macam cara untuk legakan sakit ini pun ambil masa dan ada kalanya tak berkesan. Jadi kalau nak legakan sakit pinggul dengan lebih efektif, baca perkongsian bawah ini.
Kenapa pinggul asyik sakit selepas duduk terlalu lama?
Jika kerap alami rasa sakit pinggul ketika duduk, ia boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah:
Postur duduk yang salah
Semak kembali bagaimana postur duduk kamu selama ini, adakah betul caranya atau salah.
Bukan apa duduk dengan postur membongkok, terlalu condong ke hadapan atau duduk menggelongsor ke bawah boleh membuatkan bahagian pinggul dan belakang kamu menjadi sakit.
Kebiasaannya apabila duduk terlalu lama dengan postur yang salah boleh membuatkan cakera di tulang belakang kamu menjadi tegang. Selain itu, bekalan oksigen dari darah untuk otot di punggung tidak dapat disalurkan dengan cukup.
Otot pinggul lemah
Jika otot di bahagian pinggul menjadi lemah, secara tidak langsung kamu tidak dapat menyokong fungsi tulang belakang dengan cara yang betul.
Sebab itulah apabila pinggul terasa sakit, ianya terjadi kerana tulang belakang tak dapat ‘berfungsi’ dengan baik akibat otot pinggul terlalu lemah.
Kerap rasa sakit, apa kesannya pada pinggul?
Kalau kamu nak tahu duduk terlalu lama boleh menyebabkan bahagian glutes di pinggul menjadi kebas dan sakit. Walaupun situasi ini boleh lega dalam masa yang singkat, tetapi jika berlaku dengan kerap ia boleh mencederakan.
Dipetik daripada Healthline untuk sesetengah situasi atau kes yang serius, gejala ini boleh menyebabkan rasa sakit yang teruk dan sesetengah otot boleh menjadi ‘kaku’ untuk tempoh yang lama.
Selain pinggul beberapa bahagian badan yang lain boleh turut merasai kesakitan tersebut seperti bahagian belakang badan, lutut dan kaki.
Pada masa yang sama, individu yang alami situasi ini boleh menghadapi keradangan hip bursa, iaitu bengkak pada kawasan pinggul di mana kantung fluid-filled di sendi menjadi radang.
Amal petua ini setiap kali pinggul sakit
- Mula-mula lipat tuala atau kain tebal secara panjang dan gulung sehingga ia berdiameter sekurang-kurangnya 6 inci atau 15cm. Pastikan gulungan tersebut cukup tebal.
- Duduk di atas kerusi dan sandar serapat mungkin dengan bahagian belakang kerusi dengan kedua-dua tapak kaki rata di lantai.
- Kemudian ambil tuala yang digulung dan letak di bahagian belakang badan di paras pinggang kamu. Fungsinya adalah untuk mencegah tekanan pada sendi pinggul dan tulang belakang.
- Biarkan keadaan ini seketika dan ulang sehingga pinggul kamu berasa tidak sakit dan selesa.
Bagi mereka yang sering alami sakit pinggul ini, ketika melakukan petua yang dikongsi di atas, elakkan daripada menyilang kaki untuk beberapa hari. Ini adalah untuk elakkan pinggul dan tulang belakang menjadi bengkok dan sakit untuk jangka masa yang lama.
Jika petua di atas tidak berkesan untuk kamu, ubah gaya hidup kamu dan dapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada doktor dengan segera.