“Takutnya! Ovarian cyst ini sebenarnya kanser ke? Berbahaya atau tidak?”
Macam-macam persoalan dalam minda wanita apabila mereka didiagnosis dengan ovarian cyst.
Tak dinafikan ramai wanita menjadi panik dan takut kerana kebanyakan mereka menganggap ia sebagai gejala awal kanser ovari.
Jangan risau kerana entri kali ini Wanista akan kongsikan dengan kamu apa kata Dr. Zubaidi mengenai penyakit ini.
Kenali dahulu ovarian cyst
Untuk pengetahuan kamu, ovarian cyst ini adalah sebuah kantung yang berisi cecair yang boleh berkembang di dalam atau pada ovari wanita.
Kebiasaannya cyst ini adalah jinak (benign) iaitu tidak boleh berubah menjadi kanser dan akan hilang tanpa sebarang rawatan.
Selain itu ovarian cyst boleh berlaku pada mereka yang mempunyai kitaran haid berkala. Dan cyst yang kecil boleh terjadi dan berkembang secara semula jadi ketika datang haid.
Seseorang wanita boleh mengetahui sama ada dirinya mempunyai ovarian cyst atau tidak ketika melakukan pemeriksaan pelvis secara rutin.
Boleh ke ovarian cyst berubah menjadi kanser?
“Salam doktor. Saya berusia 22 tahun dan belum berkahwin. Saya telah menjalani pemeriksaan pada bahagian pelvis, ujian darah dan juga imbasan ultrabunyi (ultrasound) abdomen. Doktor memberitahu yang saya mempunyai ovarian cyst. Adakah cyst ini bahaya? Mohon pencerahan.”
Dipetik daripada Facebook Dr. Zubaidi, ovarian cyst yang kebiasaannya terjadi pada wanita adalah bukan ketumbuhan kanser.
Kebanyakan ovarian cyst ini boleh hilang dengan sendirinya. Dan ada juga sesetengah ovarian cyst memerlukan rawatan untuk membuangnya.
Bagi beberapa kes terpencil dan jarang berlaku, ada juga ovarian cyst boleh berubah menjadi kanser ovari dan ianya tidak menimbulkan sebarang gejala.
Kamu boleh alami beberapa gejala seperti…
Jika kamu tak tahu sama ada mengalami ovarian cyst ataupun tidak, perhatikan beberapa gejala ini supaya kamu boleh bertindak untuk ambil beberapa langkah pencegahan.
- Sakit pada bahagian bawah perut
- Kitaran haid tidak normal
- Berlaku pendarahan yang tidak normal
- Kerap membuang air kecil
- Alami masalah pembuangan air besar
- Abdomen makin membesar tetapi tidak hamil
- Kerap berlaku keguguran
- Mandul
- Tiada selera makan
- Berat badan menurun
- Sering loya dan muntah
Sekiranya ovarian cyst berada di luar ovari iaitu di permukaan kulit, kamu boleh rasai perubahannya seperti:
- Ada ketumbuhan atau benjolan pada kulit
- Sering berada panas di kawasan tersebut
- Jika benjolan ditekan, ia tinggalkan kesan
- Ada titik hitam di tengah benjolan
- Kerap demam
Ada cara untuk atasi atau rawat
Kalau kamu nak tahu cyst ini tidak berbahaya sebaik sahaja kamu keluarkannya daripada badan. Tetapi ia boleh membimbangkan sekiranya saiz cyst semakin bertambah membesar.
Bagi elakkan daripada timbulnya masalah yang serius atau memudaratkan, kamu boleh merawat atau atasinya dengan beberapa cara ini:
- Jika saiz cyst kecil, doktor akan sarankan untuk biarkan sahaja tetapi akan dikeluarkan apabila ia cenderung untuk berikan risiko pada individu tersebut.
- Jika saiz cyst besar, doktor akan keluarkan menggunakan jarum untuk menyedut keluar kandungan cyst dan biarkan ia kosong serta mengecut dengan sendirinya.
- Jika saiz cyst makin membesar dan bahaya, doktor akan keluarkannya melalui pembedahan.
Untuk mengetahui sama ada kamu mempunyai ovarian cyst ataupun tidak, kamu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Jika ovarian cyst tidak berbahaya pada kamu, ia boleh diabaikan. Tetapi sekiranya ia mendatangkan bahaya, lebih baik kamu merawatnya untuk kesihatan kamu.
Apa-apa pun, dapatkan rawatan dan pemeriksaan daripada doktor terlebih dahulu. Selamat beramal ♥