Pejam celik dah nak habis bulan ramadhan dan seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya, dan pastinya sekarang ini pun ramai sedang sibuk menghias rumah dan mencari kuih raya secara dalam talian bukan?
Apa kata kamu buat sendiri beberapa jenis kuih raya di rumah, rasa lebih kena dengan selera sendiri betul tak. Lagi pun tak susah mana pun nak buat kuih raya, ini beberapa resepi ringkas yang boleh kamu buat sendiri di rumah.
Resepi Kuih Semperit Klasik
Bahan biskut semperit
- 250 gram mentega
- 3/4 cawan atau 90 gram gula icing
- 1 biji kuning telur
- 1 sudu teh esen vanila
- 1 cawan atau 120 gram tepung kastad
- 1 cawan atau 120 gram tepung jagung
- 2 cawan atau 250 gram tepung gandum
- Ceri merah dan hijau
Cara membuat
- Potong mentega kecil-kecil, kemudian masukkan mentega yang telah di potong ke dalam mangkuk besar dan biarkan seketika supaya mentega lembut. Kemudian ambil buah ceri hijau dan merah dan potong ceri kecil-kecil untuk diletakkan atas biskut raya nanti.
- Keluarkan loyang oven kemudian sapu sedikit mentega atas loyang oven, kemudian letak kertas baking dengan kemas. Selepas itu, mentega yang sudah lembut tadi ditekan-tekan hingga sekata, kemudian masukkan gula icing dan gaul sehingga sebati.
- Masukkan pula kuning telur dan esen vanila, kacau bahan hingga sebati. Kemudian masukkan tepung kastad dan tepung jagung, gaul bahan-bahan hingga sebati.
- Selepas itu masukkan satu cawan tepung gandum dan adun bahan, kemudian masukkan cawan kedua tepung gandum sedikit demi sedikit dan adun bahan hingga sebati.
- Masukkan adunan biskut ke dalam acuan bagi membentuk biskut semperit, biskut semperit yang telah siap dibentuk bolehlah letakkan buah ceri yang telah di potong tadi sebagai topping.
- Bakar biskut dalam suhu 160 darjah selsius selama 15 hingga 20 minit, biksut siap dan boleh di simpan untuk juadah Hari Raya nanti.
Resepi Biskut Red Velvet Merah Menawan
Bahan biskut red velvet
- 1/2 cawan atau 117 gram mentega dah siap potong kecil
- 3/4 cawan atau 150 gram gula kastor
- 1 biji kuning telur
- 1 sudu kecil cuka makan
- 1 1/2 sudu kecil esen vanila
- 1 1/2 – 2 sudu kecil pewarna merah
- 1/2 cawan atau 50 gram hirisan badam
- 1/2 cawan atau 90 gram coklat cip
Bahan untuk ayak
- 1 1/2 cawan atau 160 gram tepung gandum
- 1 sudu besar tepung jagung
- 2 sudu besar tepung beras
- 2 sudu besar serbuk koko
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- 3/4 sudu kecil soda bikarbonat
Cara membuat
- Mula-mula ayak semua bahan yang perlu diayak dan ketepikan. Kemudian sangai badam seminit dua dalam kuali, angkat dan ketepikan.
- Kemudian ambil mentega yang telah di potong tadi dan masukkan ke dalam mangkuk besar, masukkan gula kastor dan gaul bahan sehingga sebati.
- Dah sebati masukkan kuning telur dan gaul rata, kemudian masukkan cuka, esen vanila dan pewarna merah dan gaul rata. Kemudian masukkan bahan ayak tadi sedikit demi sedikit ke dalam adunan dan gaul bahan sehingga sebati.
- Selepas itu masukkan coklat cip dan badam ke dalam aduan dan adun sekata, kemudian rehatkan sekejap adunan selama 10 minit dalam peti sejuk.
- Keluarkan loyang oven, sapu sedikit mentega atas loyang dan letakkan kertas baking diatasnya. Kemudian keluarkan adunan biskut dan bentukkan biskut bulat-bulat di atas loyang oven dan tekan sedikit untuk jadikan ia leper.
- Bakar biskut dalam suhu 160 darjah selsius selama 10 hingga 12 minit, biskut siap di bakar di biarkan sejuk seketika sebelum dimasukkan ke dalam balang kuih raya.
Resepi Crunchy Almond Clusters
Bahan crunchy almond clusters
- 250 gram badam hiris
- 150 gram sebatian coklat
- 2 sudu besar pes hazelnut
Cara membuat
- Sangai hirisan badam atas kuali sehingga menjadi kekuningan, setelah siap di goreng masukkan hirisan badam ke dalam oven dan bakar pada suhu 150 darjah selsius selama 20 hingga 25 minit atau sehingga hirisan badam menjadi rangup.
- Kemudian panaskan air dalam periuk dan apabila air dah menggelegak, letakkan mangkuk coklat di atas periuk tersebut dan gaul coklat sehingga cair dan sekata. Atau nak lebih mudah boleh cairkan coklat menggunakan microwave.
- Rasa badam yang telah di bakar tadi sama ada rangup atau tidak, jika sudah rangup masukkan hirisan badam ke dalam mangkuk coklat yang telah cair tadi dan gaul rata.
- Kemudian masukkan hirisan badam bersalut coklat ini ke dalam cawan kertas kecil, selepas itu sejukkan biskut hirisan badam coklat ke dalam peti sejuk. Biskut dah betul-betul sejuk boleh simpan dalam balang kedap udara.
Ringkas bukan resepi-resepi kuih raya ini, lagi pun cara nak membuatnya tidak serumit mana dan bahan-bahannya juga sangat mudah untuk dicari di pasaraya.
Selamat mencuba!