Cakap sahaja topik mengenai faraj, semua wanita wajib ambil berat dan tahu mengenai penjagaan yang betul dan sebagainya.
Ini kerana faraj merupakan salah satu ‘tempat’ yang mudah dijangkiti dengan bakteria atau penyakit jika ianya tidak dijaga dengan betul.
Untuk pengetahuan kamu, dalam kalangan wanita, penyakit bacterial vaginosis mudah berlaku dalam kalangan wanita yang berumur dari 15 tahun sehingga 44 tahun.
Apabila kamu menghadapi situasi ini, sedikit sebanyak ia menjejaskan rutin harian dan seterusnya mengganggu kehidupan seks kamu.
Apa Sebenarnya Bacterial Vaginosis?
Bacterial Vaginosis (BV) terjadi apabila berlaku inflamasi disebabkan oleh terlalu banyak bakteria jahat dijumpai secara semula jadi di dalam faraj.
Apabila terlalu banyak, secara tidak langsung ia akan menganggu kitaran dan keseimbangan bakteria dalam faraj. Walaupun BV tidak menimbulkan masalah kesihatan yang lain, tetapi ia boleh memberikan risiko pada wanita yang hamil atau berusaha hamil.
Untuk pengetahuan kamu, BV ini berlaku apabila tiada lactobacillus iaitu sejenis bakteria yang menjadikan faraj kamu sedikit berasid sehingga tidak ada penumbuhan bakteria jahat.
Tanda-Tanda Kamu Dijangkiti Bacterial Vaginosis
Bagi sesetengah wanita, mereka tidak mempunyai sebarang simpton ketika menghidapi keadaan ini. Tapi kebiasaannya, simptom ini adalah ringan sahaja seperti:
- Keluar lendir yang nipis berwarna kelabu atau putih yang melekat pada dinding faraj
- Faraj menjadi berbau busuk
- Rasa ‘terbakar’ ketika membuang air kencing
- Sekali sekala terasa faraj gatal-gatal
- Faraj merengsa semasa atau selepas berhubungan seks.
Situasi BV ini kadang kala boleh cenderung kepada Pelvic Inflammatory Disease (PID). Untuk pengetahuan kamu PID ini berlaku apabila sistem pembiakan wanita dijangkiti dan boleh merangkumi jangkitan pada rahim, ovari dan bahagian bawah perut (abdomen).
Boleh Ke Wanita Menghidapi BV Melakukan Hubungan Seks?
Bagi wanita yang mengalami simptom-simptom BV atau tidak, kamu perlu merawatnya terlebih dahulu sebelum melakukan hubungan seks dengan pasangan.
Sekiranya kamu tetap melakukannya, BV akan menyebabkan faraj kamu menjadi lebih teruk dan mengalami ketidakselesaan yang melampau.
Kalau kamu nak tahu BV ini boleh tersebar melalui hubungan seks. Untuk memastikan jangkitan ini hilang sepenuhnya pada faraj, sekurang-kurangnya 2 minggu kamu perlu berhenti melakukan hubungan seks.
Jika selepas 2 minggu kamu masih mengalami kesakitan dan rasa tak selesa semasa melakukan seks, lebih baik kamu berhenti dan berjumpa dengan doktor.
Cara Yang Betul Untuk Rawat Bacterial Vaginosis
Kebiasaannya bacterial vaginosis boleh dirawat selepas kamu makan antibiotik yang dibekalkan oleh doktor. Sama ada dalam bentuk tablet yang dimakan atau krim yang disapu pada faraj, ianya akan mengambil masa dalam 5 hari sehingga 7 hari.
Pada masa yang sama, kamu perlu tahu bahawa BV ini boleh muncul kembali walaupun kamu sudah merawatnya. Jadi apabila ia terjadi lagi sekali, dapatkan rawatan segera daripada doktor kamu untuk mencegahnya daripada teruk.
Selain daripada makan ubat, ini adalah beberapa perkara yang kamu boleh lakukan untuk kurangkan BV:
- Jangan siram air secara langsung pada faraj kerana ia boleh menganggu pH faraj.
- Elakkan lakukan hubungan seks dengan individu yang mempunyai penyakit STD.
- Elak daripada menggunakan sabun pencuci, pembersih wanita dan sebagainya yang boleh pengaruhi pH normal faraj.
- Jangan merokok.
Kalau Tak Rawat, Apa Yang Akan Jadi?
Walaupun BV ini tidak bahaya, tetapi ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi berlaku pada seseorang wanita.
Antaranya ialah:
- mudah menerima atau dijangkiti virus HIV.
- mudah mendapat penyakit STD seperti herpes simplex virus, chlamydia, gonorrhea dan HPV.
- boleh alami keguguran atau kelahiran bayi pra-matang.
- risiko untuk IVF gagal sangat tinggi.
- cenderung mendapat PID dan boleh mengalami risiko yang tinggi.
Sekiranya kamu ragu-ragu sama ada kamu mengalami bacterial vaginosis atau tidak, kamu boleh check di klinik yang berhampiran untuk mengesahkannya.
Ingat jika kamu mempunyai BV, hentikan seketika hubungan seks kamu dengan pasangan. Malah rawat faraj kamu terlebih dahulu sebelum ia menjadi teruk.
Selamat beramal ♥