Memang banyak sangat teknologi yang canggih dan maju dalam dunia kecantikan, salah satunya adalah terapi LED.
Terapi LED ini merupakan rawatan kulit yang popular untuk merawat beberapa masalah kulit seperti jerawat, sunburn, kerengsaan dan lain-lain.
Menggunakan gelombang cahaya yang berbeza, ia boleh memberi kesan dan menyembuhkan masalah kulit yang dirawat secara semula jadi.
Nak cuba terapi LED, pastikan kamu baca entri ini untuk tahu cahaya yang mana sesuai dengan jenis kulit kamu.
Apa Sebenarnya Terapi LED?
Light Emitting Diode atau dikenali sebagai LED menjadi semakin popular dalam kalangan pengamal kecantikan dan para wanita yang mempunyai masalah kulit.
Gelombang cahaya LED ini kebiasaannya digunakan untuk merawat beberapa jenis masalah kulit seperti kulit berjerawat, meradang, penuaan atau elakkan penuaan pramatang.
Rawatan non-invasive ini menggunakan low-light therapy (LLT) yang mendedahkan kulit kepada beberapa gelombang cahaya dan diberikan pada dos terapi yang selamat.
Terapi LED ini sebenarnya bertujuan untuk merangsang pengeluaran kolagen, meningkatkan penggantian sel selari dengan tekstur kulit. Kesannya kebanyakan individu merasai kulit mereka semakin lembut selepas lakukan terapi.
Masalah Kulit Bergantung Pada Jenis Warna Cahaya
Bergantung kepada warna cahaya, setiap jenis ini mempunyai fungsi dan kesesuaiannya mengikut masalah kulit.
-
Cahaya Biru
Memiliki sifat antibakteria, cahaya biru mampu matikan bakteria yang terdapat dalam folikel mahupun liang roma di wajah.
Pada masa yang sama, ia berfungsi dalam mengurangkan penghasilan minyak berlebihan dan menyembuhkan luka akibat terbakar pada tahap tiga.
-
Cahaya Hijau
Berkesan dalam mengatasi kemerahan dan kulit yang merengsa, cahaya ini juga sesuai untuk individu yang mahu kurangkan pengeluaran melanin dan pigmentasi.
-
Cahaya Kuning
Bertindak untuk trigger sistem limfa, cahaya kuning berfungsi untuk tingkatkan penyingkiran toksin dari tempat yang dirawat selain menyembuhkan luka dan menghidrat kulit.
-
Cahaya Merah
Cahaya merah pula terkenal dalam kalangan mereka yang mahu menghilangkan atau kurangkan tanda penuaan, kedutan mahupun penuaan pramatang.
Ia berfungsi dan bertindak pada fibrolas iaitu sel kulit yang menghasilkan kolagen yang membentuk sebahagian besar tisu penghubung untuk membantu kulit ketika ia rosak.
Berkesan Ke Kalau Guna Terapi LED?
Menurut kajian yang dilakukan, terapi LED memang berkesan bagi individu yang mempunyai masalah kulit yang tertentu dan bagi mereka yang mahu menyembuhkan luka mahupun parut.
“Kebanyakan individu yang mengalami masalah jerawat mula menggunakan terapi LED. Ia berkesan dengan menghilangkan jerawat tetapi mereka tidak harapkan kesemua jerawat boleh hilang dalam masa yang singkat”
– American Academy of Dermatology.
Beberapa sesi rawatan perlu dijalankan dengan kerap untuk mendapatkan hasil yang lebih berkesan. Kebiasaannya, setelah beberapa minggu pun sudah boleh nampak hasilnya.
Untuk pengetahuan kamu jika menggunakan peranti bagi menjalani terapi LED di rumah, ia akan menjadi kurang berkesan dan mengambil masa yang lama berbanding di klinik estetik.
Penjagaan Wajah Selepas Lakukan Terapi LED
Sekiranya kamu tertanya-tanya sama ada terapi ini menyakitkan atau tidak, sebenarnya rawatan ini langsung tidak menyakitkan. Malah kamu hanya merasai sedikit rasa suam-suam pada wajah.
Bagi individu yang menjalani sesi rawatan ini, kamu dinasihatkan untuk tidak terdedah dengan cahaya matahari selama 48 jam.
Pastikan kamu sentiasa menggunakan sunscreen tidak kiralah ketika berada dalam rumah sekalipun. Jika muka menjadi bengkak dan kemerahan, kamu boleh mengambil ubat antiradang atau tuam wajah dengan ais.
Lakukan sesi rawatan terapi LED secara kerap dikatakan lebih berkesan dan cepat daripada kamu mengambil beberapa produk untuk merawat masalah kulit tertentu.
Jika kamu teringin untuk lakukan terapi LED, pastikan kamu tahu jenis masalah kulit dan dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor terlebih dahulu.