Kalau sebut istilah psikopat dan sociopat, pasti kamu akan membayangkan individu ini sebenarnya tidak waras.
Jika didiagnos, doktor tidak akan menggunakan istilah tersebut. Malah mereka akan menggunakan istilah “Kecelaruan Personaliti Anti Sosial” atau “Anti-Social Personality Disorder“.
Mungkin sebutan kedua-dua istilah ini nampak sama, tetapi sebenarnya ia membawa maksud yang berbeza. Dari segi personaliti, pemikiran dan sebagainya, ini yang kamu perlu tahu.
Dari Segi Hati
“Psikopat tidak memiliki hati nurani seperti sociopat”, ujar L. Michael Tompkins, ahli psikologi Pusat Rawatan Kesihatan Mental Sacramento.
Jika kamu tertanya-tanya apakah maksud hati nurani, sebenarnya ia adalah suara kecil yang memberitahu diri kita sama ada perbuatan yang dilakukan itu betul atau pun salah.
Bagi Michael, individu psikopat langsung tidak memiliki hati nurani. Tidak kiralah mereka mahu membohong atau menyakiti seseorang, dia tidak langsung ada perasaan ragu-ragu malah merasakan ia situasi yang normal.
Jika mereka mencuri atau berbohong, perbuatan itu seolah-olah tidak bersalah dan mereka juga boleh berpura-pura menjadi baik supaya tidak dicurigai oleh orang lain.
Manakal bagi individu sociopat pula, mereka sangat lemah dalam perasaan dan memiliki hati nurani. Berbeza seperti psikopat, individu sociopat tahu bahawa situasi seperti menipu dan mencuri itu salah. Jika tetap melakukannya, mereka akan berasa sangat menyesal dan dihantui oleh perasaan bersalah.
Memiliki Perbezaan Otak
Bagi individu psikopat, mereka memiliki perbezaan dari segi otak dan juga fizikal. Tidak seperti orang biasa, mungkin bagi mereka perlakuan seperti membunuh itu sebenarnya seronok dan menjadi kepuasan diri untuk melihat penderitaan orang lain.
Manakala sociopat pula mereka memiliki reaksi yang berlawanan. Kebanyakan individu sociopat ini bertindak lebih tenang terhadap situasi yang berlaku. Memiliki reaksi sebegini, ia membuatkan mereka tidak berani untuk melakukan aktiviti yang mendatangkan risiko kepada diri.
Di sebalik perbezaan itu, ada persamaan di antara kedua-dua individu ini. Mereka sebenarnya lebih menyukai untuk berbual mengenai makanan, seks atau kewangan.
Tetapi jika ditanya soal keluarga, agama dan hati, mereka boleh menjadi berang. Selain itu, mereka juga suka berborak mengenai diri sendiri dan memiliki ego yang besar.
Sifat Panas Baran Dan Berlakon ‘Tenang’
Tidak kiralah sociopat dan psikopat, kedua-dua identiti ini sangat susah untuk dikenal pasti dan mencari perbezaannya.
Menurut pakar, individu psikopat ini sebenarnya bijak. Mereka pandai untuk menyembunyikan emosi mereka dan tidak bertindak dengan melulu. Mereka boleh menunjukkan minat kepada kamu tetapi sebenarnya dia langsung tidak peduli.
“Individu psikopat ialah seorang pelakon yang ‘berbakat’ kerana mereka mahir memanipulasikan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.”
Lain pula dengan individu sociopat. Mereka dilihat sebagai seorang individu yang sangat panas baran. Tanpa memikirkan akibat dan kesannya kepada diri sendiri, mereka sering bertindak mengikut perasaan.
Walaupun kebanyakannya tidak boleh menangani beberapa situasi, tetapi ada yang cuba menahan emosinya walaupun sukar.
Tak Semuanya Bertindak Dengan Ganas
Jika dilihat dalam televisyen, individu psikopat dan sociopat ini sering digambarkan sebagai seorang penjahat dan individu yang gemar akan keganasan. Tetapi sebenarnya ia berbeza.
Dalam dunia realiti, ada sesetengah sahaja yang bertindak ganas dan kebanyakannya tidak. Bagi yang gemar bertindak ganas, mereka pandai memanipulasi keadaan dan tidak pernah fikirkan akibatnya demi mendapatkan apa yang diingini.
Contohnya, ada sebahagian kecil mungkin terlibat dengan aktiviti keganasan seperti membunuh dan sebagainya. Dan sebahagian besar lagi mungkin mempunyai peluang untuk berjaya walaupun terpaksa menindas orang lain demi kepentingan mereka.
Sekiranya kamu menyedari beberapa sifat ini pada orang sekeliling, kamu mungkin berfikir sebenarnya mereka ini sociopat atau psikopat. Tetapi kamu perlu tahu, tak semuanya yang bersifat kejam dan mementingkan diri itu memiliki istilah ini.