Jika kamu alami kesukaran dalam berinteraksi dengan orang luar dan lebih gemar menyendiri di dalam rumah, ia merupakan salah satu ciri-ciri introvert.
Tetapi tak semua introvert gemar duduk di dalam rumah. Ada yang lebih gemar berada di luar rumah tetapi boleh menjadi cemas apabila ada yang menegurnya.
Mereka yang introvert ini bukanlah minta untuk jadi begini. Walaupun sudah beberapa kali berusaha untuk atasinya, pasti semuanya akan menjadi sia-sia.
Buat kamu yang tekad untuk berubah dan bersosial dengan orang luar, cuba pertimbangkan beberapa cara ini.
Yakin Dengan Diri Sendiri
Kebanyakan introvert, mereka mempunyai pelbagai jenis idea dan pemikiran yang lebih baik berbanding extrovert. Tetapi mereka tidak berani untuk mengatakannya kerana sering bimbang tiada perkataan yang tepat dan apa yang difikirkan oleh orang lain.
Jadi, sekiranya kamu ingin berkongsi pendapat atau idea dengan orang lain, kamu perlu yakin dengan diri sendiri. Apabila kamu yakin dengan diri sendiri, ia akan menjadikan kamu tidak kekok dan membuatkan orang sekeliling berasa lebih selesa dengan kehadiran kamu.
Cuba Ikut Kawan ‘Melepak’
Sebagai seorang introvert, tidak salah kalau kamu cuba-cuba untuk mengikut rakan kamu keluar berjumpa dengan orang lain. Cari rakan yang boleh dipercayai.
Ini kerana apabila mereka boleh dipercayai, rakan kamu boleh membawa dan menyokong kamu ketika bergaul dengan orang lain.
Sebagai permulaan, biarkan rakan kamu memulakan perbualan dengan orang lain. Kemudian, kamu boleh cuba untuk mencelah dengan memberikan pendapat dan sebagainya. Dengan cara ini, kamu dapat membantu diri kamu bergerak ke tahap yang seterusnya.
Berkawan Dengan Extrovert
Selalunya, individu yang berlainan dengan diri kita lebih cenderung menarik minat sama ada dari segi personaliti dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah jika introvert dan extrovert saling tertarik antara satu sama lain.
Sekiranya kamu di tempat kerja, jadikan extrovert sebagai rakan kamu. Bukan apa, kamu tidak perlu risau sekiranya tertinggal apa-apa info terkini kerana extrovert pasti memaklumkan kepada kamu.
Tetapi kamu tidak perlu berkawan dengan kesemua extrovert kerana ia boleh membuatkan kamu berasa lebih cemas dan gugup. Pilih seorang atau dua orang sahaja extrovert yang boleh dipercayai untuk membantu kamu atasi ciri-ciri introvert.
Berlatih Untuk Mulakan Perbualan
Tak salah kalau kamu bersungguh-sungguh berlatih bagi memulakan perbualan dengan orang luar. Kamu boleh cari di Google tentang cara-cara untuk memulakan percakapan dan tiru kembali apa yang kamu baca dengan lakonkannya semula.
Atau kamu boleh saja fikirkan tentang topik-topik terkini sama ada tentang dunia, rutin harian kamu atau hobi. Melalui topik-topik bersahaja itu akan membuatkan perbualan kamu tidak menjadi kekok dan berlaku secara semula jadi.
Tak Apa Kalau Mahu ‘Rehat’ Sekejap
Jika kamu melihat extrovert, mereka boleh dikatakan tidak mempunyai masa rehat daripada dunia dan orang sekeliling. Berbeza dengan introvert, mereka memerlukan masa rehat daripada orang sekeliling.
Sebagai contoh, jika kamu memerlukan masa untuk bersendirian ketika keluar atau lakukan aktiviti perkhemahan, kamu tidak perlu rasa bersalah. Terangkan kepada rakan bahawa kamu memerlukan ruang untuk tenang.
Dan ketika itu, kamu boleh bersendirian sama ada di dalam kereta atau berada jauh sedikit daripada orang lain. Tidak mengapa jika kamu mahu ‘rehat’ sebentar kerana ia akan membuatkan kamu lebih tenang dan bertambah segar.
Walaupun kamu tidak beberapa yakin untuk bergaul dengan orang luar, tidak mengapa. Teruskan dan ulang sehingga kamu berjaya atasi rasa cemas dan gugup apabila bergaul dengan masyarakat.
Good luck!