Kalau ikutkan kata hati, boleh dikatakan hampir kesemua gambar mahu digantung di dinding. Tetapi jika menggantung semuanya, pasti kelihatan ‘buruk’.
Sambil mencari inspirasi idea-idea di Pinterest dan apabila apply ke dalam dunia realiti, kenapa hasilnya nampak pelik dan tidak menjadi? Agak-agak kamu kenapa ye?
Untuk pengetahuan kamu, setiap gambar yang ingin digantung di dinding perlu digantung melihat kesesuaian, sama ada dari cara susunan mahupun gambar itu sendiri.
Entri kali ini, penulis akan membantu kamu dalam menyusun gambar untuk digantung pada dinding supaya hasilnya kelihatan cantik, kemas dan teratur!
Spiral
Dalam menghasilkan Spiral, kamu mestilah membayangkan kesemua bingkai gambar yang ingin digantung berada dalam bentuk segi empat yang besar pada akhirnya.
Untuk permulaan, kamu perlu letakkan bingkai pertama di tengah dan susun bingkai gambar yang lain mengikut saiz yang sesuai. Susunan tersebut mestilah mengelilingi bingkai pertama sehingga menjadi seperti segi empat besar.
Semasa menyusun bingkai tersebut, pastikan setiap jarak antara bingkai sama, tepat dan tidak terlalu jauh jaraknya.
Staircase
Jika rumah kamu mempunyai tangga, susunan Staircase ini sangat sesuai untuk digunakan. Tidak kiralah pelbagai jenis saiz bingkai digunakan, tetapi kamu mesti menyusunnya dalam keadaan menaik seolah-olah seperti tangga.
Centered
Paling mudah sekali, kamu hanya perlukan bingkai gambar yang besar sama ada satu atau dua bingkai untuk diletakkan sebagai titik tengah.
Selepas itu, susun bingkai di kiri dan kanan mengikut saiz yang sama dan lebih kecil sedikit berbanding dengan bingkai gambar di tengah. Selarikan setiap satu bingkai dan pastikan jarak di antaranya sama.
Reflection
Jika kamu inginkan kebebasan dalam menyusun gambar, cara susunan ini kamu tidak perlu fikirkan untuk selarikan setiap saiz bingkai gambar.
Tetapi kamu perlu bayangkan susunan ini seolah-olah mempunyai refleksinya sendiri seperti kita melihat di dalam cermin.
Outer Align
Sama seperti Centered, pilih satu bingkai yang besar untuk diletakkan di bahagian tengah. Kemudian, susun bingkai-bingkai yang lebih kecil sedikit di sekelilingnya.
Pastikan setiap bingkai gambar di sekeliling bingkai tengah disusun selari dan tidak terkeluar daripada garisannya. Akhir susunan ini kamu dapat lihat satu bentuk segi empat yang besar.
Nine Square
Nine Square ini merangkumi sembilan bingkai gambar yang mempunyai saiz yang sama. Susunannya pula akan menjadikan bingkai-bingkai gambar ini seperti sebuah bentuk segi empat yang besar.
Sangat mudah dan ringkas cara penyusunan ini. Kamu hanya perlu menyusun dalam keadaan tegak, selari dan sama jaraknya antara satu sama lain.
Selepas ini, kamu hanya perlu pilih gambar yang paling cantik untuk digantung di dinding. Ikut kreativiti masing-masing, kamu boleh menggunakan beberapa idea ini sebagai permulaan untuk dekorasi ruangan dinding rumah kamu!
Selamat mencuba!