Berusia 95 tahun, Tun Dr. Mahathir masih lagi kelihatan sihat dan cergas walaupun usianya hampir mencecah 100 tahun.
Siapa sangka, di sebalik kecergasan dan tampil sihat itu, Tun Dr. Mahathir telah mengamalkan beberapa tips yang dikatakan ‘strict‘ dalam menjaga badannya dan kesihatan untuk kekal sihat sehingga hari ini.
Berbeza dengan generasi sekarang, rata-rata tidak endahkan untuk menjaga hal kesihatan malah ‘bedal’ sahaja apa yang ada di hadapan mata tanpa fikirkan akibatnya.
Kalau kamu mahu berubah dan ingin kekal sihat seperti Tun Dr. Mahathir, cuba ikuti beberapa tips yang mudah dan praktikal ini.
Wajib Bersenam
Bagi Tun Dr. Mahathir sendiri walaupun usianya hampir mencecah 100 tahun, beliau masih aktif dalam melakukan senaman. Walaupun ianya hanya sebuah senaman yang ringkas, tetapi beliau tidak pernah skip untuk melakukannya.
“Di pejabat dan di rumah, kedua-dua tempat ini mempunyai lif. Tetapi saya gemar untuk menaiki anak tangga kerana ia menjadi senaman untuk badan saya.”
Dalam pada masa yang sama, Tun Dr. Mahathir juga mempunyai rutin harian senamannya iaitu bangun seawal pukul 6:30 pagi setiap hari. Kemudian, beliau akan melakukan beberapa senaman mengikut keupayaannya sama ada berjalan, menunggang kuda atau berbasikal.
Biarkan Minda ‘Bekerja’
Walaupun usianya boleh dikatakan sesuai untuk berehat sahaja, tetapi bagi Tun Dr. Mahathir, beliau tidak boleh ‘duduk diam’. Beliau akan melakukan apa-apa aktiviti untuk memastikan mindanya bekerja.
“Saya akan sibukkan diri untuk kekal aktif. Boleh untuk berehat tetapi saya tidak akan berehat terlampau lama.” Ini kerana saya lebih suka bekerja kerana ia membuatkan minda saya ‘berjalan’.”
Tidak kiralah membaca buku, menulis, berjalan atau menyertai apa-apa perbincangan, beliau akan melakukannya bagi mengelakkan daripada mindanya tidak bekerja.
Jangan Terlampau Tidur
Menurut Tun Dr. Mahathir, bagi golongan warga emas sepertinya pasti akan tidur dengan kerap kerana badan lemah. Tetapi beliau cuba untuk elakkan daripada tidur berlebihan.
Baginya, tidur terlampau lama atau berlebihan membuatkn badan dan otak menjadi sangat lemah. Ini akan menyebabkan otot-otot badan dan juga minda tidak digunakan dan membuatkan badan tidak menjadi aktif dan sering sakit-sakit.
Jangan Makan Berlebihan
“Apabila makan makanan sedap, saya akan berhenti. Perlakuan ini sememangnya susah, tetapi apabila menjadi amalan, ianya sebenarnya mudah sahaja.”
Seperti Tun Dr. Mahathir, beliau sangat menjaga dalam pengambilan makanannya. Untuk mengelakkan dirinya menjadi gemuk dan terlalu gemuk, beliau akan hanya makan ‘cukup-cukup’ sahaja.
Tun Dr. Mahathir juga berkata apabila makan dalam jumlah yang banyak, ia akan membuatkan perut menjadi lebih besar.
Apabila perut menjadi besar, ia akan membuatkan kita makan dalam jumlah yang banyak untuk berasa kenyang. Kesannya, disebabkan makan berlebihan itu yang membuatkan badan menjadi gemuk, berat dan tidak sihat.
Tidak Merokok Dan Mengambi Alkohol
Tun Dr. Mahathir mengatakan dirinya tidak pernah merokok dan mengambil alkohol bagi menjaga kesihatannya. Walaupun beliau menghidapi masalah sakit jantung, beliau menasihati masyarakat yang mengambil alkohol dan merokok untuk berhenti daripada mengambilnya.
“Jantung kita perlu dijaga kerana apabila badan kita menjadi besar, jantung akan bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan.”
Perbuatan merokok secara tidak langsung memberi pelbagai kesan buruk yang utama seperti kanser paru-paru dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD). Manakala pengambilan alkohol boleh menyebabkan masalah hati seperti sirosis hati.
Melihatkan kepada amalan dan tips penjagaan kesihatan untuk kekal sihat dan aktif seperti Tun Dr. Mahathir ini sebenarnya tidak susah untuk diikuti. Kita hanya perlu tanam niat dalam diri dan berdisplin untuk kekal sihat.
Buat beginner yang ingin menurunkan berat badan, kamu boleh ikuti tips kesihatan Tun Dr. Mahathir dalam menurunkan berat badan. Selamat mencuba!