Secara puratanya, remaja perempuan mula mengalami haid pertama mereka ketika berusia 12 tahun atau 13 tahun. Tetapi ada juga yang datang haid awal dan lambat daripada usia ini.
Setiap remaja perempuan akan menjadi panik buat pertama kali jika mereka menghadapi situasi datang haid. Sudahlah tidak tahu mahu buat apa, malah bertambah panik jika berlaku jauh daripada rumah dan ibu untuk membantu hadapinya.
Jadi sebab itulah penting untuk didedahkan dengan beberapa langkah atau informasi tambahan tentang hari pertama datang haid daripada ibu untuk membuatkan diri setiap remaja lebih bersedia dan tidak panik.
Sebagai ibu, ada beberapa langkah yang kamu perlu ajar dan dedahkan kepada anak perempuan kamu tentang haid pertama mereka.
Kekal Tenang
Take note! Penting untuk memberitahu anak kamu untuk kekal tenang dengan sehabis mungkin. Mungkin susah untuk kekal tenang tetapi jika anak perempuan kamu menggelabah, semuanya akan menjadi huru-hara dan lebih rumit.
Kebanyakkan remaja perempuan menjadi panik adalah disebabkan badan mereka mengalami perubahan. Kamu perlu memberitahu mereka bahawa perubahan itu sebenarnya normal untuk seorang perempuan.
Panik yang terjadi mungkin disebabkan oleh rasa sakit di bahagian alat sulit, payudara, kepala malah mengalamai kekejangan otot.
Jika tidak boleh berasa tenang, minta mereka untuk memberitahu kamu bagi mendapatkan bantuan dalam mengatasi panik tersebut.
Terangkan Tentang Haid
Kebanyakkan remaja perempuan akan mempunyai pelbagai persoalan yang bermain dalam minda. Bagaimana haid ini berlaku, warna, sakit atau tidak dan macam-macam lagi.
Sebagai ibu, kamu perlu dedahkan mereka dengan beberapa maklumat tentang haid sebelum mereka mengalaminya buat pertama kali. Jangan berasa malu dan segan untuk menerangkan kepada mereka.
Kamu boleh mulakan dengan beberapa perkara asas seperti;
- Apa sebenarnya haid itu?
- Warna-warna darah haid
- Proses kitaran haid
- Seberapa kerap perlu untuk tukar tuala wanita
- Cara untuk memakai tuala wanita dan membersihkannya
- Simptom haid
Sediakan Period Kit
Jika datang haid di rumah, ianya sangat mudah kerana berada di bawah pengawasan kamu. Tetapi jika berlaku di luar rumah, cuba bayangkan bagaimana anak perempuan kamu mahu mengawal keadaan itu?
Tidak kiralah sama ada berlaku di rumah atau di luar rumah, penting untuk kamu sediakan period kit bagi memudahkan anak perempuan kamu.
Period kit tersebut boleh disediakan dengan menggunakan sebuah beg kecil yang memuatkan;
- Tuala wanita (2 keping)
- Seluar dalam bersih (2 helai)
- Poket tisu
- Ubat tahan sakit
- Plastik
- Hand sanitizer
Sekiranya haid terkena pada bahagian seluar dalam anak kamu, beritahu mereka untuk membalutnya menggunakan tisu atau plastik sebelum buang dalam tong sampah. Period kit ini perlu sentiasa berada bersama dengan anak kamu.
Kebersihan Diri
Ketika datang haid, penting sangat-sangat untuk seorang perempuan menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan diri daripada beberapa pelbagai penyakit.
Sebagai ibu, sudah semestinya kamu mempunyai pelbagai pengalaman tentang haid. Jadi untuk anak kamu menjaga kebersihan mereka ketika datang haid, perlu untuk kamu memberitahu mereka tentang penjagaan yang betul.
Antara kebersihan diri yang perlu diketahui oleh anak perempuan kamu adalah;
-
Pemakaian tuala wanita
Anak perempuan kamu perlu memakai tuala wanita yang bersih dan tidak menggunakan tuala wanita yang telah dipakai. Sangat kotor dan mempunyai banyak bakteria.
Elakkan juga daripada memakai tuala wanita dalam jangka masa yang panjang. Sekurang-kurangnya, pemakaian tuala wanita ini adalah untuk tempoh 4 jam sehingga 6 jam sahaja.
Tunjukkan demo tentang pemakaian tuala wanita yang betul pada anak kamu supaya mereka tidak panik dan memakai dalam cara yang salah.
-
Penggunaan seluar dalam
Untuk seluar dalam pula, penting bagi anak perempuan kamu memakai seluar dalam yang bersih. Jika seluar dalam yang dipakai oleh mereka terkena dengan sedikit darah haid, tukar kepada seluar dalam yang baru.
Elakkan daripada menggunakan seluar dalam yang sama dalam tempoh yang lama walaupun anak perempuan kamu sudah menukar pad untuk beberapa kali.
-
Perlu basuh atau buang?
Sekiranya anak perempuan kamu mahu menukar tuala wanita, adakah perlu untuk mereka membasuhnya atau terus buang? Jika berada di luar rumah, elakkan daripada membasuh tuala wanita yang telah dipakai di tandas-tandas awam.
Ini kerana semasa mereka membasuhnya, mereka mungkin berfikir bahawa tuala wanita tersebut bersih, tetapi sebenarnya mereka berpotensi mendapat bakteria dan kuman.
Jadi, beritahu anak kamu untuk membalut tuala wanita tersebut menggunakan tisu dengan kemas dan membuangnya dalam tong khas yang disediakan.
Berjumpa Dengan Doktor
Anak perempuan kamu perlu tahu bahawa mereka perlu segera berjumpa dengan doktor sekiranya mereka mempunyai beberapa simptom seperti;
- Mempunyai tempoh haid yang panjang iaitu melebihi daripada 14 hari
- Kekejangan yang panjang dan tidak hilang selepas makan ubat penahan sakit
- Rasa sakit yang melampau
Kamu sebagai ibu tidak perlu menganggap topik ini sebagai memalukan untuk berkongsi dengan anak perempuan. Tetapi kamu perlu tahu apabila berkongsi secara sedikit sebanyak, anak perempuan kamu akan mengetahui dan bersiap sedia bagi menghadapi haid yang pertama.