Menjadi pelengkap kepada gaya seseorang wanita, handbag memainkan peranan penting dalam penampilan. Tidak kiralah apa status anda atau harga sebuah handbag, tapi setiap wanita mesti ada sekurang-kurangnya satu.
Seperti Che Ta, dia yang mempunyai koleksi handbag yang pelbagai sentiasa tampil dengan pelbagai jenis handbag yang berbeza mengikut situasi. Jika dilihat kesemua handbag miliknya walaupun dipakai berulang kali, tetap kelihatan seperti ‘baru keluar kedai’.
Hairan kan macam mana boleh jadi macam itu, tak akan lah Che Ta membeli design dan pattern yang sama? Kalau kamu nak tahu, Che Ta ada berkongsi beberapa tips dan pantang larang untuk kamu menjaga handbag supaya kelihatan seperti baru beli!
Untuk para pengumpul dan penggemar handbag, jangan lupa untuk ikut tips dan pantang larang Che Ta untuk handbag kamu kekal seperti baru!
#TIPS 1 – MAJLIS
Kalau ke majlis-majlis, mestilah kamu mahu tampil cantik dan sempurna kan? Jadi, untuk kelihatan bergaya kamu, semestinya kamu akan memilih handbag yang disukai untuk menjadi pelengkap.
Seperti Che Ta, pemilihan handbag adalah penting untuk disesuaikan dengan majlis yang dihadiri. Untuk yang tidak tahu bagaimana, pilihlah handbag yang berkulit lebih lembut dan elegan ketika menghadiri majlis perkahwinan, majlis harijadi atau keluar berjalan-jalan.
Ini kerana kadang-kadang ada yang memakai handbag yang berkulit keras ke majlis-majlis dan ia mencacatkan penampilan si pemakai.
#TIPS 2 – WARNA
Kalau ada yang berani dan yakin dengan gayanya, kamu akan lihat mereka memakai warna yang terang dan bold untuk menyerlahkan penampilan dan gaya.
Bagi kamu yang ingin memadankan handbag dan pakaian, pilih warna universal. Warna-warna ini adalah hitam, nude atau coklat di mana warna-warna ini sesuai dipadankan dengan keseluruhan pakaian kamu dalam almari.
Jika kamu teringin untuk memakai warna lain yang sedikit terang untuk tampil berlainan, cubalah beberapa warna dan sesuaikan dengan pakaian supaya tidak kelihatan kekok dan pelik.
#TIPS 3 – BENTUK BADAN
Handbag dah cantik tapi macam tak sesuai dengan bentuk badan? Selain jenis handbag, bentuk badan si pemakai juga penting. Menurut Che Ta, jika bentuk badan tidak sesuai dengan handbag ia pasti merosakkan penampilan si pemakai.
Jika si pemakai hanya memiliki ketinggian kurang 6 kaki, dia mestilah memilih handbag yang tidak terlalu besar. Teringin memakai handbag sedikit besar? Boleh, tetapi jangan oversize.
Bagi si pemakai yang tinggi lampai, jangan memakai handbag yang terlampau kecil tetapi pakai handbag bersaiz sederhana. Sebelum membeli, cuba dahulu untuk lihat sama ada sesuai atau tidak dengan bentuk badan.
#TIPS 4 – HARGA
Ramai yang ingin bergaya dengan handbag yang mahal, tetapi bila lihat dompet seperti tidak mengizinkan. Tak salah nak berangan pakai handbag mahal, tetapi belilah mengikut kemampuan.
Memang seronok bergaya dengan handbag mahal seperti Chanel, Louis Vuitton, Gucci dan pelbagai lagi tetapi Che Ta juga ada mengatakan beberapa handbag yang tidak terkenal namanya mempunyai kualiti yang setanding dengan handbag mahal.
#TIPS 5 – KUALITI
Kalau dengar harga yang mahal, mesti rasa kualiti handbag itu bagus. Memang betul begitu tetapi tak semestinya harga yang murah, kualitinya tidak bagus.
Untuk kamu yang ingin membeli handbag, beberapa perkara ini mestilah kamu buat dan perhatikan. Lihat jahitan dan material handbag dahulu sebelum membelinya. Jika kamu beli online, baca testimoni supaya bila dapat handbag, kamu tidak rasa ditipu.
#TIPS 6 – REKAAN
Nak nampak macam ikut latest trend? Rekaan bagi sesebuah handbag menjadi faktor utama sebelum membeli handbag kerana itulah perkara pertama yang mata nampak.
Sangat penting untuk memilih rekaan handbag yang mempunyai design yang latest, moden dan evergreen. Jika handbag yang kamu lihat itu ada ciri-ciri ini, handbag tersebut boleh digunakan untuk tempoh yang lama dan tidak nampak ketinggalan.
#1 ‘HARAM’ SIMPAN DALAM PLASTIK
Kalau beli handbag, pasti ia akan dalam bekasnya sendiri sebagai satu set. Untuk kamu yang mahu menyimpan handbag selepas pakai, elakkan daripada simpan dalam plastik sama ada plastik sampah atau plastik barang.
Jangan sesekali simpan dalam plastik, kerana ianya boleh memberikan kesan kepada handbag kamu. Plastik akan memerangkap kelembapan di mana ia menjadi tempat yang disukai oleh kulat dan boleh merosakkan handbag.
#2 JANGAN LETAK DI LANTAI
Tempat dalam bilik semuanya dah penuh dan tiada tempat untuk simpan barang. Ada sesetengah orang, mereka akan simpan handbag bawah katil, tepi almari dan macam-macam tempat lagi lah di atas lantai.
Ingat, lantai mempunyai banyak kuman dan bakteria. Jika kamu meletakkannya di atas lantai, bakteria dan kuman tersebut boleh berpindah kepada handbag dan merosakkannya. Kalau kamu memakainya, ia boleh memberikan jangkitan kerana handbag kamu sudah menjadi tempat pembiakan kuman dan bakteria.
#3 JANGAN KOSONGKAN
Selepas menggunakannya, semestinya kita akan mengeluarkan barang-barang di dalam handbag untuk menyimpannya. Untuk situasi ini, jangan biarkan handbag kamu kosong.
Kenapa? Handbag kamu perlulah diisi dengan sesuatu seperti surat khabar atau bahan-bahan seangkatan dengannya untuk mengekalkan rupa handbag kamu seperti bentuk asal dan dapat membuatkannya kelihatan baru.
#4 ELAK MATAHARI
Jika kamu menyimpan handbag dalam bilik dressing, atau bilik khas untuknya, elakkan daripada mendedahkan handbag kamu kepada cahaya matahari.
Simpan handbag di tempat yang jauh atau terlindung daripada matahari. Ini kerana jika kamu meletakkannya terkena cahaya matahari atau terkena secara terus, ia boleh merosakkan dan memudarkan warna handbag.
#5 BERBEZA JENIS & CARA PENJAGAAN
Ketika membeli handbag, kamu perlu tahu material handbag tersebut sama ada jenis kulit, PVC atau PU. Sangat penting untuk kamu tahu kerana setiap jenis material ini mempunyai cara penjagaan yang berbeza.
Tidak semuanya boleh dijaga dalam penjagaan yang sama. Ada yang memerlukan penjagaan yang extra, ada yang boleh dicuci dan ada yang boleh dibiarkan sahaja. Jika kamu menganggap semua material boleh dijaga dalam cara yang sama, tak lama lagi handbag kamu boleh rosak.
Jangan ingat senang untuk menyimpan dan menjaga setiap jenis handbag yang ada. Susah sebenarnya, tetapi kalau kamu sentiasa ingat tips dan pantang larang ini, tidak lah kamu akan membazir membeli handbag baharu setiap kali rosak.