Keganasan rumah tangga ini kebiasaannya disebabkan oleh tingkah laku seseorang individu terhadap pasangannya di mana pelaku menggunakan kuasa dan kawalan kepada pasangan.
Bukan sahaja dilakukan dalam bentuk fizikal, malah keganasan rumah tangga boleh terjadi melalui mental, ekonomi atau seksual. Situasi sebegini jarang dilaporkan sehingga ia kerap berlaku dan menyebabkan mangsa takut untuk bersuara.
Di Malaysia, sejak Mac yang lalu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebanyak 1929 aduan dilaporkan. Secara keseluruhan, negeri Selangor (375 aduan) merupakan negeri yang tertinggi diikuti dengan negeri Johor (264 aduan).
Aduan yang diterima melalui Talian Kasih 15999 melibatkan kes keganasan rumah tangga dari segi fizikal, emosi dan seksual. Menerusi Belanjawan 2021, Menteri Datuk Seri Rina Mohd Harun menyatakan kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat.
Bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, pusat ini bertujuan menyediakan perlindungan selain memberikan sokongan moral kepada wanita bagi berdepan dengan situasi masalah keganasan rumah tangga, perceraian dan penderaan.
Tanpa mengira usia dan jantina, keganasan rumah tangga yang berlaku disebabkan oleh beberapa tahap ini.
Tahap 1 : Pembentukan Ketegangan
Setiap hubungan mempunyai konflik masing-masing, dan mengikut cara tersendiri sama ada boleh diselesaikan dengan baik atau tidak.
Bagi pasangan yang tidak boleh selesaikannya, beberapa perkara boleh berlaku seperti si pelaku bertindak pasif-agresif yang menyebabkan mangsa menjadi keliru dan mula takut apabila hak untuk bersuara tidak boleh dilakukan.
Tahap 2: Kejadian
Apabila ketegangan semakin meningkat, pada tahap inilah si pelaku akan bertindak marah. Pada tahap ini, ianya mungkin ‘kecil’ seperti serangan verbal atau sebesar kekerasan fizikal kepada si mangsa.
Penderaan fizikal berlaku selepas si pelaku telah berjaya mengawal dan yakin si mangsa akan patuh kepadanya serta tiada kemampuan untuk lari daripada hubungan ini. Pertengkaran boleh berlaku dan ianya bertujuan untuk menjatuhkan semangat si mangsa supaya mudah untuk dikawal.
Tahap 3: Berdamai
Setelah beberapa kejadian yang berlaku, si pelaku mungkin takut si mangsa akan meninggalkannya. Bagi mengelakkan perkara itu berlaku, si pelaku akan menunjukkan kekesalan di mana ianya mungkin benar atau palsu untuk yakinkan si mangsa daripada pergi.
Si pelaku akan memberikan alasan mengapa dia bertindak untuk melakukan keganasan dan sebahagian daripadanya, dia akan menyalahkan si mangsa. Si mangsa mungkin melihat dan mengalami keganasan yang berlaku tetapi tidak dapat menunjukkannya sebagai keganasan.
Tahap 4: Tenang
Dipanggil sebagai ‘fasa bulan madu’, si pelaku akan menaburkan janji untuk tidak mengulangi kembali perbuatannya dan membuatkan si mangsa termakan akan janjinya.
Si pelaku akan berusaha menunjukkan bahawa dia seorang penyayang dan ambil berat terhadap si mangsa. Kemudian si pelaku akan mula mencari kekurangan atau perkara yang boleh menyebabkan kitaran ini bermula semula.
Apabila kitaran ini bermula semula, si pelaku akan menyeksa mental dan fizikal si mangsa sehingga dia berasa betul-betul telah berjaya mengawal secara 100%. Jika ia berlaku, semakin susah untuk si mangsa keluar daripada keadaan tersebut untuk mendapatkan bantuan.
Dapatkan Pertolongan
Memang sangat susah untuk keluar daripada situasi kegananas rumah tangga ini. Jika anda menjadi salah seorang mangsa, jangan terus untuk keluar daripada situasi tersebut.
Ini kerana si pelaku mungkin boleh melakukan perkara yang tak dijangka apabila dirinya merasakan si mangsa cuba untuk berlawan. Pelbagai kejadian yang tak diingin seperti, dipukul dengan kejam sehingga meragut nyawa.
Jadi, untuk si mangsa, anda boleh mendapatkan pertolongan melalui laman web rasmi Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat. Di sini, anda boleh melaporkan kes keganasan rumah tangga yang berlaku atau bercakap dengan staf yang dapat membantu anda.
Melalui laman web rasmi ini, anda boleh mendapatkan kaunseling dan steps untuk menangani masalah rumah tangga seperti ingin keluar daripada hubungan tersebut. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web rasmi atau hubungi mereka.