Tahukah kamu kanser hati atau hepatocellular carcinoma (HCC) merupakan antara punca utama kematian di seluruh dunia, dan menyebabkan lebih daripada 700,000 kematian setiap tahun. Ia merupakan kanser ke-6 paling kerap dikesan di Malaysia, dan yang ke-4 paling banyak menyebabkan kematian.
Kanser hati primer bermula di dalam sel hati dan jenis kanser hati primer yang paling kerap adalah HCC.
Yang Berpotensi Risiko Kanser Hati
Hampir 90% daripada jumlah kes kanser hati dijumpai di kalangan pesakit yang mengalami sirosis, lazimnya akibat daripada penyakit hati seperti jangkitan virus hepatitis B atau hepatitis C, penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), pengambilan alkohol berlebihan dan lain-lain.
- Foto – Health
Virus Hepatitis B & C merupakan punca 70% daripada kes dan kematian disebabkan kanser hati di seluruh dunia, dan merupakan punca utama peningkatan kes kanser hati.
Peringkat Awal Tidak Ada Simptom Tapi
Pesakit yang menghidap kanser hati mungkin tidak mempunyai apa-apa simptom pada peringkat awal. Tapi apabila kanser sudah mencapai tahap lanjut, pesakit mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti:
- Kehilangan berat badan
- Sakit di bahagian atas abdomen
- Kehilangan selera makan
- Rasa mual dan muntah
- Kembang perut
- Penyakit kuning di bahagian putih mata dan juga kulit
- Foto – Healthline
Ini menyebabkan kanser hati sukar untuk dikesan dan dirawat pada peringkat awal. Jika dikesan awal, kanser hati mungkin boleh disembuhkan. Malangnya, tidak ramai daripada mereka yang berisiko tinggi menghidapi kanser hati sedar akan perkara ini.
Jadi, penting bagi mereka yang berada dalam golongan berisiko tinggi perlu menjalankan pemeriksaan atau pemantauan kanser hati bagi mendapatkan pengesanan awal dan rawatan segera.
Rawatan Imunoterapi Beri Peluang Baru Pada Pesakit Kanser Hati
Pilihan rawatan ditentukan pada tahap serius kanser hati. Imunoterapi merupakan pilihan rawatan kanser terbaru yang membantu pesakit kanser menggunakan sistem imun mereka untuk melawan dan menghapuskan sel-sel kanser.
Bagi pesakit kanser, sistem imun badan yang melawan jangkitan penyakit mungkin tidak akan menyerang kanser berkenaan kerana sel kanser menghasilkan protein yang menyembunyikannya daripada sel sistem imun.
- Foto – Harvard University
Imunoterapi berfungsi dengan menganggu proses ini, malah boleh meredakan kanser dalam jangka masa panjang. Ini disebabkan cara rawatan ini melatih sistem imun untuk mengenal pasti sel kanser.
Imunoterapi mungkin tidak akan memberikan kesan sampingan sama seperti rawatan konvensional (kemoterapi dan radioterapi) kerana fokusnya adalah terhadap menguatkan sistem imun badan.
Rawatan imunoterapi boleh dijalankan secara sendiri atau bersama dengan rawatan lain seperti anti-VEGF untuk meningkatkan keberkesanannya. Kombinasi regimen imunoterapi ini meningkatkan kadar kelangsungan hidup tanpa penularan apabila dibandingkan dengan rawatan standard.
- Foto – Vice
“Kombinasi imunoterapi dengan rawatan lain memberikan pesakit kanser hati peluang baru. Keberkesanannya boleh dilihat dari beberapa kajian global. Saya amat teruja untuk melihat bagaimana imunoterapi dapat membantu pesakit kanser pada masa hadapan,” rumus Profesor Dr Rosmawati, Pakar Perunding Hepatologi di Pusat Perubatan University Malaya di bengkel media “Let’s Learn about Liver Cancer”.
Berbekalkan kemajuan terkini dalam industri penjagaan kesihatan, pesakit kanser perlu berbincang dengan doktor untuk memilih rawatan yang paling sesuai untuk mereka.