Kebanyakkan daripada kita menganggap bahawa kemurungan ini sebagai penyakit yang hanya orang dewasa saja yang mengalaminya. Tetapi tidakkah anda tahu bahawa kemurungan juga berlaku pada kanak-kanak?
Kebanyakkan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak tidak dapat dirawat kerana ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka mengalami kemurungan. Jadi sebagai ibu bapa, penting untuk mengetahui, menyedari dan mempelajari tentang kemurungan yang berlaku dalam kanak-kanak.
APA YANG PERLU KITA TAHU?
Kemurungan kanak-kanak adalah satu keadaan yang nyata. Jika tidak dirawat, kemurungan ini akan meningkatkan risiko episod kemurungan masa depan, berpanjangan dan lebih teruk. Kemurungan yang tidak dapat dirawat ketika kanak-kanak mungkin akan menyebabkan risiko membunuh diri.
National Institute of Mental Health menyatakan sekurang-kurangnya 3.3% kanak-kanak dari usia 13 tahun hingga 18 tahun mengalami episod kemurungan yang teruk. American Academy Of Adolescent Psychiatry menganggarkan jumlah sebanyak 5% bunuh diri adalah penyebab utama kematian dalam orang muda yang berusia antara 10 hingga 24 tahun.
Memilih rawatan yang berkesan dapat membantu kanak-kanak ini dalam mengubah hidup mereka dan menyelamatkan nyawa. Jika sebelum ini terdapat halangan dalam membicarakan topik kesihatan mental secara terbuka, kini topik itu mula dibicarakan kerana ingin menangani kesihatan mental yang semakin meningkat.
SIMPTOM
Kanak-kanak yang mengalami kemurungan lebih kelihatan mudah marah, mempunyai sikap membangkang, dan berasa rimas. Jika anda melihat perubahan dalam tingkah laku kanak-kanak seperti peningkatan atau penurunan gred di sekolah ini mungkin salah satu simptomnya.
Kanak-kanak mungkin akan mengatakan bahawa mereka sebenarnya okay atau menafikan segala pertanyaan kita. Sebilangan ibu bapa menganggap perkara itu sebahagian daripada perkembangan yang normal. Tetapi jika mereka menjadi marah dalam jangka masa yang lebih dua minggu, ini mungkin merupakan tanda-tanda kemurungan.
PENYEBAB
Pelbagai perkara boleh menjadi penyebab kepada kemurungan kanak-kanak seperti penceraian, genetik dan lain-lain. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko yang berpotensi yang menjadi penyebab seperti:
1. Kimia Otak
Ketidakseimbangan neurotransmitter dan hormon tertentu mungkin berperanan dalam bagaimana otak berfungsi sehingga dapat mempengaruhi mood dan emosi serta meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.
2. Sejarah Keluarga
Ahli keluarga yang mengalami gangguan emosi seperti kemurungan berkemungkinan dapat merisikokan kanak-kanak dalam keluarga tersebut untuk mengalami gejala kemurungan.
3. Tekanan atau Trauma
Perubahan mendadak seperti berpindah, bercerai atau peristiwa traumatik dapat menyumbang kepada perasaan tertekan. Kanak-kanak mudah terkesan dengan perubahan-perubahan kecil di sekeliling mereka.
4. Faktor Persekitaran
Jika kanak-kanak menjalani kehidupan seharian mereka dalam persekitaran yang tertekan, huru-hara atau tidak stabil akan menjadikan kanak-kanak berada dalam keaadan tertekan dan cenderung mengalami kemurungan. Penolakan dan menjadi mangsa buli di sekolah jugak boleh menjadi salah satu penyebab kemurungan.
DIAGNOSIS
Sekiranya anda sedar akan perubahan tingkah laku atau mood seperti tertekan, pakar pediatrik adalah langkah permulaannya. Anda boleh jadualkan janji temu dengan doktor.
Untuk didiagnosis dengan kemurungan, kanak-kanak mesti menunjukkan lima atau lebih gejala dalam masa dua minggu. Gejala ini merangkumi mood yang tertekan atau marah, kehilangan minat atau keseronokan dalam melakukan aktiviti yang diminatinya.
Terdapat juga beberapa gejala-gejala lain seperti insomnia atau tidur berlebihan, penurunan selera makan dan berat badan, kekurangan tenaga, keresahan, sukar menumpukan perhatian dan lain lain.
Walaupun tiada ujian khusus untuk menguji kemurungan, doktor mungkin akan menggunakan penilaian psikologi untuk menilai lebih lanjut berkenaan jenis dan tahap gejala kemurungan yang dialami oleh kanak-kanak.
RAWATAN
Pilihan rawatan sering melibatkan ubat-ubatan, psikoterapi atau perubahan gaya hidup. Sebilangan ibu bapa takut untuk melakukan rawatan terhadap anak-anak mereka kerana memikirkan ubat-ubatan yang diambil dengan memberikan kesan sampingan yang serius.
Tetapi untuk merawat kemurungan, terapi bercakap adalah pilihan untuk tidak digunakan ubat-ubatan tetapi jika serius tahap kemurungan itu, berkemungkinan akan diberi ubat-ubatan bagi membantu mereka. Rancangan rawatan yang disarankan oleh doktor atau pakar psikiatri bergantung kepada tahap kemurungan kanak-kanak.
Kemurungan pada zaman kanak-kanak boleh memberi kesan yang serius kepada kehidupan mereka dalam jangka masa panjang. Sebagai ibu bapa, anda perlu prihatin dan menyedari tanda-tanda anak anda mengalami kemurungan. Pencegahan pada peringkat awal dapat membantu kanak-kanak sebelum kemurungan dapat memberikan kesan yang serius terhadap kehidupan mereka.