Sebuah nama yang dikenali ramai di Malaysia, Datin Elaine Daly merupakan seorang pelakon, emcee, host, peguam yang berkelayakan dan ahli perniagaan. Beliau yang aktif dalam dunia kecantikan, hiburan, sosial dan fesyen sejak memulakan kerjayanya ke dalam dunia permodelan pada akhir 1990-an.
SIAPA DATIN ELAINE DALY?
Datin Elaine Daly merupakan model yang termuda apabila beliau memulakan kerjayanya pada umur 14 tahun. Lulus daripada sekolah menengah di Malaysia pada umur 14 tahun, beliau diterima masuk ke sekolah perundangan di Malaysia dan lulus dengan ijazah undang-undang luar di University Of London pada umur 19 tahun. Pada tahun 2003, Datin Elaine Daly dinobatkan sebagai Miss Malaysia Universe 2003 dan mewakili Malaysia di Miss Universe Pageant di Panama, Amerika Tengah.
Mengambil rehat pada tahun 2007 untuk bertugas dengan salah satu firma undang-undang terkemuka di Malaysia dan beliau dipanggil ke bar Malaysia setelah menjadi pelajar selama 9 bulan untuk mengambil peperiksaan bagi menjadi seorang peguam yang berkelayakan.
Selain menjadi seorang pengarah kebangsaan Miss Universe Malaysia selama 5 tahun, beliau juga menghasilkan sebuah rancangan dalam talian iaitu hurr.tv dan memulakan sebuah organisasi, Lead Up Asia iaitu sebuah bengkel latihan untuk membantu para wanita dengan kemahiran interpersonal mereka bagi meneruskan karier mereka tanpa batasan.
Melalui satu temu ramah bersama Datin Elaine Daly, beliau berkongsi serba sedikit mengenai Miss Universe Malaysia 2020 dan kesannya akibat Covid-19, “Tahun ini memang ada pembaharuan di mana pertandingan ini akan diadakan dalam bentuk e-gala. Pertandingan ini akan disiarkan dalam talian di seluruh negara dan tiada penonton secara fizikal berbanding sebelum ini”.
Datin Elaine Daly menjelaskan bahawa para penonton dapat memainkan peranan dalam voting bagi peserta yang menjadi pilihan mereka untuk gelaran Miss Universe Malaysia 2020, “Yang menariknya pada tahun ini, kita akan adakan voting terhadap kategori Best Evening Gown, Best Body Beautiful dan Miss Universe Malaysia 2020“.
“Pesanan saya kepada para peserta, mereka seharusnya mempunyai pendirian yang tetap dan sentiasa kuat semangat kerana apabila mereka perlu bertanding di peringkat antarabangsa, mereka perlu mewakili Malaysia. Jadi, mempunyai mental dan fizikal yang kuat sangat diperlukan untuk terus bergerak ke hadapan”.
Ditanyakan soalan berkaitan dengan kecantikan, Datin Elaine Daly menyatakan untuk menjadi cantik, seseorang wanita itu perlu mempunyai kecantikan dari dalam dan luar. Mempunyai kecantikan dalaman dan luaran menjadikan seseorang wanita itu kelihatan sihat dan positif dengan bersenam dan makan makanan berkhasiat.
“Bagi saya pengurusan masa itu sangat penting. Sebagai seorang yang bekerjaya dan seorang ibu, saya sentiasa tahu dan merancang dalam kehidupan saya untuk menjadikan semua hal seperti kerja, anak-anak, rumah tangga dibahagikan masa yang sama rata”, ujar beliau.
Menjadi beauty with brains, Datin Elaine Daly banyak membantu dan memberikan inspirasi kepada para wanita di seluruh negara berkaitan kecantikkan, kerjaya dan pelajaran.