Filem yang mengandungi nilai pengajaran dan mesej yang tersurat serta tersirat dikategorikan filem yang bagus, kerana mampu menampilkan intipati pengajaran untuk penonton hadam dan cernakan nilai-nilai yang disampaikan sepanjang filem ditayangkan.
Dan dalam banyak-banyak filem yang ada, penulis tertarik pada satu filem Bollywood yang bertajuk ‘Guzaarish’ hasil karya pengarah dan penulis skrip Sanjay Leela Bhansali ini.
Sinopsis Guzaarish Dan Trailer
Filem ini mengisarkan tentang Ethan Mascarenhas (lakonan Hrithik Roshan) yang merupakan seorang bekas ahli magik yang hebat suatu ketika dahulu.
Tetapi kini Ethan menghidapi quadriplegic (masalah lumpuh satu badan dari leher hingga ke kaki), kerana kemalangan yang berlaku semasa dirinya melakukan persembahan magik 14 tahun lalu.
12 tahun kemudian kesihatan Ethan menjadi stabil hasil penat lelah dan pengorbanan jururawatnya iaitu puan Sofia D’Souza (lakonan Aishwarya Rai Bachchan).
Sepanjang tempoh tersebut dari Ethan yang merupakan seorang ahli magik yang membuat persembahan dikhalayak ramai, berubah 360 darjah dengan melakukan kerja sebagai ahli magik di rumah.
Ethan berkongsi banyak ilmu-ilmu magik baru menerusi penulisan dan juga rancangan radionya dari rumah. Tetapi semua itu tidak kekal lama bila mana organ dalaman Ethan menunjukan kegagalan untu berfungsi.
Untuk mengelakan dari bergantung harap pada mesin sokongan seumur hidup dan tinggal di hospital secara tetap, Ethan memfailkan petisyen kepada mahkahmah untuk membenarkan dirinya mati secara sah (euthanasia).
Hasrat Ethan atau Guzaarish yang diimpikan olehnya adalah kematian yang boleh menghilangkan kesengsaraan yang dialaminya.
Keputusan Ethan mengejutkan semua orang terutama yang rapat dengannya seperti ibunya, Sofia dan anak didiknya.
Selingkap Pengajaran Kehidupan Di Sebalik Guzaarish
Filem Guzaarish memaparkan jalan hidup Ethan yang pada mulanya berjaya dan disanjungi ramai kepada seorang yang lumpuh, demi menghidupkan watak tersebut pengarah filem menghasilkan sinematografi dengan elemen-elemen gelap dan suram bagi memaparkan keperitan watak.
Setiap babak, gerak-geri dan bait-bait perkataan yang dipaparkan oleh watak cukup memberi kesan pada siapa yang menonton filem Bollywood karya sutradara Sanjay Leela Bhansali ini.
Ini antara pengajaran kehidupan yang dikongsikan menerusi lensa kamera, yang bagus untuk kita semua hayati dan cernakan.
#1 Di Sebalik Senyuman, Menyimpan Kesan Psikologi Yang Berat
Menerusi filem Guzaarish, memaparkan kehidupan Ethan yang pada awalnya penuh dengan glamor, kejayaan dan gelak ketawa, tetapi dek kerana kesilapan ketika melakukan persembahan magik membuatkan Ethan terpaksa membayar dengan harga yang tinggi.
Dirinya menjadi lumpuh satu badan, tidak lagi dapat menggerakan tangan dan kaki dengan bebas seperti dahulu. Dunia Ethan berubah dengan mendadak, ujian yang diterima membuatkan Ethan akur dan menjalaninya dengan keberanian yang ada.
Di sebalik senyuman dan gelak ketawa yang dipaparkan sebenarnya untuk menyembunyikan kemurungan dan tekanan psikologi dalam jiwanya sendiri.
Dari luaran dirinya sering memberi senyuman pada orang sekeliling, hanya dirinya saja yang tahu betapa sukar untuk mengutum sebuah senyuman tatkala dirinya tidak ubah seperti patung yang tidak boleh bergerak bebas.
#2 Matlamat Adalah Sumber Kekuatan Emosi Diri
Selama 14 tahun Ethan memegang pada matlamat bahawa akan ada harapan untuk dirinya dan kehidupan akan jadi lebih baik, Ethan tidak berhenti berkongsi ilmu magik menerusi rancangan radionya dan juga menerusi penulisannya sendiri.
Berpegang pada matlamat hidup itu, ia secara tidak langsung menjadi sumber kekuatan emosi dalam diri Ethan untuk menjalani hari-hari yang mendatang.
Kita perlu tahu tatkala diri menghadapi saat pahit dalam kehidupan, secebis harapan seperti matlamat boleh menjadi kekuatan diri bagi meneruskan kehidupan yang dipenuhi tekanan jiwa macam Ethan ini.
#3 Bukan Semua Insan Hidup Kerana Cinta Semata-Mata
Biasa dalam filem hindustan kita biasa lihat elemen cinta merupakan sumber kekuatan dalam hubungan tersebut bukan?
Tapi filem ini membuktikan tidak semua insan hidup kerana perasaan cinta semata-mata, apatah lagi kalau individu tersebut diselubungi masalah psikologi dan kemurungan yang teruk.
Menerusi filem ini Sofia meluahkan perasaan cintanya kepada Ethan, setelah memendam perasaan selama 12 tahun sepanjang menjaga Ethan.
Meski Ethan dapat merasai nikmat cinta seperti orang biasa, namun Ethan tetap membuat keputusan untuk mengakhiri hidupnya.
Jadi bukan semua insan merasakan kuasa cinta mampu menjadi tiang cahaya kehidupan dalam diri mereka terutama buat seseorang yang mengalami kemurungan dan masalah psikologi yang teruk seperti Ethan.
#4 Pengakhiran Bukanlah Tiket Penyelesaian
Bagi penulis intipati cerita dalam filem ini agak berat sebenarnya apabila kita melihat dari sudut perspektif yang lain dan bukan hanya sekadar menonton cerita tersebut.
Keputusan Ethan untuk mengakhiri hidupnya sendiri dengan memfailkan petisyen kepada mahkamah untuk membenarkan dirinya mati secara sah, adalah tindakan yang tidak boleh diterima oleh manusia.
Kerana yang berhak keatas nyawa kita sendiri adalah Sang Pencipta, meski betapa perit dan sengsara sekalipun kita tidak sepatutnya menjadikan pengakhiran hidup adalah tiket untuk membebaskan diri dari lorong kesengsaraan tersebut.
Tidak Kira Betapa Perit Kehidupan, Mati Bukan Jawapannya
Dari filem ini kita dapat mengetahui jika individu yang mengalami fasa terakhir kemurungan tetap akan meneruskan niat untuk bunuh diri, meski dirinya mendapat sokongan dan kasih sayang dari orang-orang sekeliling mereka.
Ini kerana bebanan psikologi disamping tubuh yang lumpuh sepenuhnya membuatkan individu seperti ini mencari jalan keluar dengan menamatkan hidup mereka sendiri.
Filem yang dilakonkan oleh Hrithik Roshan bersama Aishwarya Rai ini dilakonkan dengan cukup penghayatan dan realiti kehidupan, di mana bukan semua insan mampu mengharungi ujian dengan berani sehingga ke akhir hayat mereka.
Ramai yang kecundang di persimpangan jalan kehidupan seperti Ethan kerana ianya bukan mudah untuk menerima hakikat tubuh yang sihat menjadi lumpuh dan tidak boleh bergerak seperti patung. Namun mati bukan jalan pintas untuk mengakhiri keperitan hidup.
No matter how hard your life is, try to live life to the fullest with no regrets..