Wanita merupakan makhluk yang cukup kreatif, banyak cabang idea dan imaginasi digunakan bagi menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Sama seperti berfesyen sambil berhijab, wanita cukup versatil dalam bergaya sambil mengenakan tudung bawal mahupun shawl.
Tapi antara dua gaya ini yang mana satu lebih best pakai? Lain wanita lain citarasa betul tak, justeru itu Wanista buat perbandingan antara penggunaan tudung bawal dan shawl untuk melihat yang mana satu lagi best untuk dipakai.
Mudah Bentuk
Antara tudung bawal dan shawl yang mana satu lebih mudah dibentuk mengikut struktur muka, jawapannya back-to-old-style iaitu tudung bawal.
Tudung bawal lebih mudah dibentukkan berbanding shawl, tidak kira apa jua stail yang kamu ingin gayakan sambil menggunakan tudung ia dapat dibentuk dengan baik dan kemas.
Berbanding shawl, kalau tidak kemas dan tidak terbentuk maka wanita perlu buka semula lilitan dan terpaksa mengulang semula untuk bentukkan shawl mengikut bentuk muka.
Kekemasan
Dari aspek kekemasan pula Wanista percaya setiap wanita mempunyai cara yang tersendiri bagi mendapatkan kekemasan tatkala memakai tudung bawal mahupun shawl. Bagi yang mahir dalam selok-belok memakai tudung dan shawl, aspek ini tak ada masalah pun.
Tapi lain pula ceritanya bagi yang baru belajar atau wanita yang berumur lewat 50an atau 60an di mana pemakaian shawl secara lama mungkin akan membuatkan kekemasan pada shawl lari, begitu juga yang baru belajar memakai shawl.
Kalau tudung pula, tak banyak yang perlu dirisaukan kerana meski kekemasan lari, ianya lebih mudah dibetulkan dan dibentukkan semula berbanding shawl dengan lilitan yang banyak di kepala, betul tak?
Masa
Sebagai wanita yang sentiasa sibuk dengan pelbagai tugasan, pastinya penggunaan masa amat penting. Justeru itu, wanita lebih selesa memilih untuk memakai tudung kerana ianya lebih cepat dan mudah dipakai serta digayakan dengan hanya menggunakan satu atau dua pin.
Tapi ada juga wanita merasakan shawl lebih cepat dan jimat masa pakai, dengan sekadar lilit dan pinkan guna jarum peniti di kepala.
Mungkin dari aspek ini ianya bergantung pada kebolehan masing-masing terutama bagi wanita yang mengejar masa untuk pergi ke tempat kerja dan sebagainya.
Stail Dan Gaya
Penggunaan tudung bawal dan shawl membuatkan wanita tampil lebih kreatif dan versatil dalam menggayakan tudung dan shawl mengikut peredaran fesyen semasa.
Dari stail seringkas-ringkasnya hinggalah stail serumit-rumitnya, wanita sangat bijak dalam memperagakan tudung dan shawl mengikut stail yang diingini.
Untuk aspek ini kedua-duanya memiliki stail yang menarik dan unik, oleh itu ianya bergantung pada citarasa masing-masing mana yang berkenan di hati.
Material
Kebanyakan material kain untuk dibuat tudung dan shawl menggunakan material yang sama, wanita sangat menitiberatkan tentang jenis kain atau material yang diguna untuk membuat tudung atau shawl.
Justeru itu, pengetahuan jenis kain sangat penting apabila hendak memilih tudung mahupun shawl di kedai-kedai.
- Kapas atau cotton – Sesuai dibuat tudung bawal dan shawl
- Cotton Voile – Sesuai dibuat tudung bawal
- Chiffon – Sesuai dibuat tudung bawal dan shawl
- Lycra – Sesuai dibuat shawl
- Satin Crepe – Sesuai dibuat shawl
- Satin Maria – Sesuai dibuat tudung bawal
- Satin Pearl – Sesuai dibuat shawl
- Cornskin – Sesuai dibuat tudung bawal
- Ultrafine Voile Premium – Sesuai dibuat tudung bawal
Melihat kepelbagaian jenis kain yang ada dipasaran dalam menghasilkan tudung dan shawl, membuatkan wanita rambang mata untuk memilih antara tudung bawal dan shawl. Dari aspek ini wanita akan memilih jenis material yang selesa, mudah bentuk dan tidak pekakkan telinga.
Bagi Wanista sendiri, penggunaan tudung lagi best dan mudah berbanding penggunaan shawl. Apa-apa pun ianya terpulang pada diri masing-masing kerana lain orang lain selera betul tak.
Jadi kamu suka yang mana satu?