Sejak kebelakangan ini penulis ketagih dengan buah aprikot kering dari Turki. Tekstur kenyal dan tidak manis, rasa asli buah membuatkan ia enak dijadikan snek sihat.
Kaya dengan vitamin, protein, mineral dan serat membuatkan aprikot boleh dijadikan snek berkhasiat. Kebanyakan pakar kesihatan dan makanan mengesyorkan buah kurma, kismis, buah tin, kacang badam, walnut, pistachio dan buah aprikot kering untuk kekal sihat.
Aprikot mengandungi vitamin A, vitamin C, vitamin E, vitamin K, kalium, tembaga, mangan, magnesium, fosforus, niasin, serta beberapa nutrien lain. Aprikot menyediakan sumber serat makanan yang sangat baik dan sejumlah phytochemical dan mineral yang mempromosikan kesihatan. Ia juga makanan yang berkalori rendah – mengandungi 48 kalori untuk setiap 100 gram.
Aprikot kering dapat memberi kepekatan nutrien per buah yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan buah segar yang belum dikeringkan. Sekiranya anda bersenam atau melakukan aktiviti fizikal seperti mendaki, aprikot kering banyak kelebihannya kerana padat dengan tenaga.
Tanpa membuang masa, ketahui kelebihan yang anda dapat setiap kali makan aprikot kering.
Sembelit
Aprikot kaya dengan serat, dan sesuai untuk dimakan bagi mereka yang mengalami sembelit. Kandungan serat dalam aprikot akan merangsang pengeluaran cairan gastrik dan memudahkan sistem pencernaan menyerap nutrien.
Kesihatan Mata
Oleh kerana aprikot kaya vitamin A, pengambilan buah ini membantu meningkatkan penglihatan dan mencegah kesan buruk radikal bebas yang biasanya menyerang sistem kekebalan tubuh.
Gabungan vitamin A dan E, serta Beta-Carotene memainkan peranan penting dalam mencegah atau mengurangkan gangguan mata seriring dengan pertambahan usia. Carotenoids, yang terdapat dalam aprikot dapat membantu mengurangkan tekanan oksidatif pada retina dan lensa mata. Ini dapat membantu meningkatkan kesihatan mata yang baik walaupun kita meningkat usia.
Tulang
Dilaporkan aprikot kering mengandungi Boron, mineral semula jadi dengan faedah kesihatan yang luar biasa. Kajian penyelidikan menunjukkan bahawa Boron boleh memainkan peranan yang pelbagai dan penting dalam sifat fungsional kesihatan tulang.
Bahkan, Boron dapat membantu kesihatan tulang secara keseluruhan, penyembuhan tulang, dan metabolisme tulang.
Kulit dan Kesan Penuaan
Fakta menunjukkan bahawa pemakanan yang betul sangat penting untuk kesihatan dan penampilan kulit. Aprikot kering mengandungi banyak nutrien penting. Contohnya, aprikot mengandungi vitamin A, vitamin C, dan fitonutrien. Semua nutrien ini berguna untuk melambatkan proses penuaan dan mencantikkan kulit.
Pengeluaran Darah
Kandungan zat besi dalam aprikot membantu menghasilkan sel darah merah. Jadi, anda boleh mengelakkan anemia.
Aprikot kering juga mempunyai sumber kalium, mineral yang dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah yang sihat. Anda boleh mengambil sekitar 259mg kalium untuk setiap 3.5 auns aprikot (kira-kira setengah cawan buah).
Berat Badan
Tahukah setiap 100 gram aprikot mengandungi 45 kalori dan serat. Tidak hairanlah jika pengambilan buah ini dapat membuat anda kenyang lebih lama yang akan berguna dalam proses menurunkan berat badan.
Tapi apa yang berlaku kalau makan banyak sangat?
Soalan : Saya suka buah kering dan menganggapnya sihat. Tapi saya dengar kita boleh mendapat kenaikan berat badan jika makan buah kering terlalu banyak, dan ternyata ianya tidak sihat. Betul ke?
Oleh kerana saiz buah kering jauh lebih kecil daripada buah segar, jadi kita mungkin akan consume kalori yang banyak setiap kali makan buah kering.
Bila makan buah kering, benda yang menjadi perhatian apabila sebilangan pembuat buah kering menambah gula pada buah kering (yang sudah mengandungi gula semula jadi). Jadi, hal ini boleh membimbangkan tahap kesihatan kita.
Walau bagaimanapun, buah kering juga mengandungi banyak serat dan antioksidan yang disebut fenol daripada buah segar, per auns. Serat melawan penyakit jantung, obesiti, dan beberapa jenis barah. Orang dengan diet yang kaya dengan fenol mempunyai kadar rendah penyakit jantung, diabetes, beberapa jenis barah, dan mungkin penyakit otak.
Kesimpulannya, makanlah buah kering seperti biasa kerana khasiatnya, tapi elak buah kering yang mengandungi tambahan gula dan perhatikan kalori. Ingat, setiap makanan ada buruk, jadi sila berpada-pada dan ambil dalam kuantiti yang seadanya.