Barisan hadapan (frontliner) berhenpas pulas menyumbang tenaga sehabis baik dalam menangani penularan virus maut Covid-19 tanpa jemu, usaha keras mereka membuatkan rakyat ingin menyumbang sesuatu untuk mereka.
Begitulah hasrat si cilik Nur Afia Qistina Zamzuri yang berusia sembilan tahun, menggunakan tenaganya sendiri untuk menyumbang sesuatu untuk barisan hadapan.
Si cilik Nur Afia menggunakan kemahiran menjahitnya untuk menyumbang pakaian perlindungan (PPE) untuk barisan hadapan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) yang terletak di Kuala Pilah Negeri Sembilan.
Nur Afia yang risau terhadap kekurangan bekalan pakaian PPE di HTAN secara sukarela menawarkan tenaganya bagi menjahit pakaian perlindungan PPE tersebut.
Meski masih kecil tetapi azamnya sangat besar mengalahkan orang dewasa sendiri, niat ingin membantu barisan hadapan membuatkan si cilik ini dikagumi ramai dan sikap berkenaan harus di contohi. Tanpa perlu mengira peringkat umur, sesiapa sahaja boleh menyumbang tenaga kepada barisan hadapan dengan cara tersendiri.
Kuasa Kemahiran Menjahit
Seorang lagi insan yang menggunakan kemahiran menjahit seperti si cilik Nur Afia iaitu Siti Munirah Nasaruddin yang berusia 21 tahun.
Siti Munirah memiliki kemahiran menjahit semenjak berusia 12 tahun mendorong dirinya untuk turut menyumbang tenaga buat barisan hadapan dengan menjahit pakaian perlindungan PPE.
Siti Munirah yang juga salah seorang pelajar jurusan Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia, menawarkan diri untuk menjahit pakaian PPE untuk barisan hadapan.
Siti Munirah menyatakan dirinya berasa bangga kerana dapat menyumbang sesuatu buat barisan hadapan dengan menggunakan kemahiran diri yang dimiliki.
Bagi rakyat Malaysia di luar sana dengan kemahiran yang kamu miliki, sedikit sebanyak kamu dapat menyumbang sesuatu untuk negara dan barisan hadapan kita di saat gentir seperti ini.
Seperti mana si cilik Nur Afia dan Siti Munirah lakukan ia mungkin boleh menjadi daya tolak bagi individu lain untuk turut serta membantu para barisan hadapan kita yang sedang kekurangan unit PPE ketika ini.
#PKP #KitaJagaKita #Sukarela #KuasaKemahiran