Anda sanggup beli sepasang kasut tumit tinggi yang mencecah ribuan ringgit dan lebih mahal dari rantai atau gelang emas? Jenama kasut wanita terkenal Christian Louboutin merupakan salah satu kasut mewah dan terkenal di dalam industri pembuatan kasut yang bercitarasa tinggi, elegan dan unik.
Apabila sebut saja nama kasut ini, pasti terbayang tapak kasut yang berwarna merah darah yang merupakan trademark jenama kasut mewah ini. Jenama kasut mewah ini merupakan milik Christian Louboutin, Louboutin menjadikan tapak kasut berwarna merah darah menjadi sebuah kasut yang ikonik serta di gilai ramai oleh artis-artis antarabangsa terkenal dunia seperti Beyoncé dan Cardi B.
Idea Tapak Merah Gara-Gara Pewarna Kuku
Christian Louboutin mendapat idea untuk menghasilkan tapak kasut mewah bermula pada tahun 1993, di mana pada ketika itu dirinya melihat pekerjanya mewarnakan kuku jari dengan warna merah. Dari situ, Louboutin menghasilkan tapak kasut berwarna merah darah dan lahirlah kasut Louboutin yang kita semua lihat pada hari ini.
Kenapa Kasut Christian Louboutin Sangat Mahal?
Menurut Christian Louboutin, harga kasut yang di hasilkannya sememangnya sangat mahal sehingga mencecah ratusan dan ribuan dolar Amerika. Apa yang menyebabkan kasut tersebut mahal adalah kerana tapak kasut yang ikonik serta merupakan kasut pilihan utama para selebriti terkenal di seluruh dunia.
Kasut Louboutin yang paling murah bermula pada harga $695 atau RM2,896 dan manakala kasut yang paling mahal serta eksklusif pula dijual pada harga $6,000 atau RM25k! Harga untuk sepasang kasut Louboutin sahaja mencecah puluhan ribu ringgit, dahsyat betul penangan jenama kasut Louboutin ini.
Louboutin Simbol Status Si Pemakai
Menurut Christian Louboutin, kasut yang di hasilkan oleh dirinya adalah sangat bermutu tinggi, baik dari segi pembuatan kasut, rekaan kasut dan bahan yang di gunakan semuanya bercitarasa tinggi dan mewah.
Kasut Louboutin yang dihasilkan penuh dengan ketelitian, baik dari segi pemilihan bulu haiwan, batu rhines atau bahan-bahan yang eksotik yang lain menjadikan kasut Louboutin tergolong dalam kelas yang tersendiri.
Bayangkan kasut tumit tinggi Louboutin yang bertatahkan batu kristal Swarovski sahaja sudah bernilai $3,595 atau RM14k dan bulu rakun pula bernilai $1,995 atau RM8k. Menerusi kos-kos bahan yang sangat mahal, tidak hairanlah mengapa harga sepasang kasut tumit tinggi sahaja boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
Bagi yang mampu membeli dan memakai kasut dari jenama Louboutin ini, ia menunjukan simbol status diri yang mewah dan bercitarasa tinggi.
Merupakan Simbol Ikon Fesyen
Bagi yang memiliki kasut Louboutin ini, mereka beranggapan kasut Louboutin ini merupakan simbol ikon fesyen. Rekaan unik, mewah, elegan dan melambangkan status ini menjadikan kasut ini di kenali sebagai ikon fesyen. Mereka sanggup berbelanja dan menghabiskan $1,000 atau RM4k semata-mata untuk membeli sepasang kasut Louboutin.
Harga kasut yang lebih mahal dari harga emas ini membuatkan ramai yang tergamam melihat harga gila tersebut.
Bagaimana dengan anda, adakah anda sanggup membeli sepasang kasut dengan harga puluhan ribu ringgit ini?