Wah seronok rasanya dapat jejakkan kaki ke negara matahari terbit ini, negara yang kaya dengan tinggalan sejarah, tradisi dan budaya ini memang berbaloi untuk di lawati! Bagi yang baru pertama kali ingin menjejakkan kaki ke Jepun pastinya agak keliru apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu kamu elak buat jika ke sana.
Setiap negara memiliki peraturan dan etika yang tersendiri terutamanya di Jepun, ini kerana di Jepun sangat menitik beratkan etika agar tidak mengganggu orang lain. Oleh itu penting untuk kamu ketahui secara terperinci apa yang perlu kamu tahu dan elak buat ketika berada di negara matahari terbit ini.
#1 Tidak Belajar Perkataan Asas Jepun
Jika kamu pergi melancong ke Jepun tanpa belajar sedikit perkataan asas ia akan menyukarkan perjalanan kamu sepanjang percutian berjalan. Apa salahnya kamu belajar sedikit perkataan-perkataan asas Jepun seperti:
- Hai atau Hello – Konnichiwa
- Selamat pagi – Ohayo
- Selamat petang – Konbanwa
- Ya – Hai
- Tidak – Ie
- Terima kasih – Arigatou gozaimasu
- Maafkan saya – Sumimasen
- Adakah kamu faham bahasa Inggeris? – Eigo ga hanasemasu ka?
- Maaf, saya tidak faham – Sumimasen, wakarimasen
- Saya mahu yang ini – Kore o kudasai
- Boleh saya dapatkan bil? – Okanjo o onegaishimasu
Senang dan ringkas bukan perkata-perkataan asas bahasa Jepun, ianya tidak rumit pun. Tambahan lagi, telefon pintar yang hebat-hebat belaka sekarang ini boleh bantu kamu dengan menggunakan Google Translate atau mana-mana aplikasi bebas yang boleh bantu kamu menterjemah semasa melancong di sana.
#2 Wajib Ada Wang Tunai Di Tangan
Meski sekarang ini dunia secara perlahan-lahan berubah ke arah penggunaan wang digital tetapi di Jepun bukan semua tempat menerima wang digital kerana mereka lebih selesa menggunakan wang tunai bagi melakukan transaksi pembelian barang. Jadi pastikan kamu mempunyai wang tunai matawang Yen yang mencukupi di dalam dompet tau.
#3 Tidak Membawa Stokin Lebih
Jangan pelik di kamu ke Jepun, kamu terpaksa menanggalkan lebih daripada empat atau lima kali kasut apabila melawati sesuatu tempat! Di Jepun mereka mengamalkan membuka kasut apabila memasuki mana-mana premis (tengok tempat) oleh itu jika kamu memakai kasut, penting untuk kamu membawa stokin lebih untuk memastikan kebersihan kaki terjaga. Dan di Jepun sangat menitik beratkan kebersihan tau!
#4 Jangan Bagi Wang Tip Pada Pelayan
Budaya memberi wang tip yang sering di praktikkan di barat tidak boleh dilakukan di Jepun, ini kerana perbuatan memberi wang tip dianggap biadap dan tidak sopan di Jepun. Jadi tak perlu susah-susah nak bagi wang tip okay. Kalau kamu beri juga, pelayan tempat tu akan cari kamu semula dan pulangkan wang tersebut kepada kamu.
#5 Tak Boleh Memilih Makanan
Kamu jenis picky eater? Jika ya, habislah kamu ini kerana bukan semua restauran di Jepun menerima permintaan istimewa, contohnya kamu nak makan ramen tapi tidak mahu makan sayur. Seboleh-bolehnya elak minta buat permintaan sedemikian atau kamu buat kajian dahulu restauran mana yang menawarkan makanan yang boleh kamu makan sebelum keluar.
#6 Malu Bergaul Dengan Orang Jepun
Jika dah melancong ke Jepun, sambil-sambil jalan-jalan menikmati pemandangan dan budaya Jepun, rugi jika kamu lepaskan peluang bergaul bersama dengan orang Jepun. Mungkin kamu segan atau malu untuk bergaul dengan kerana tidak memahami bahasa mereka, tetapi pemikiran sebegitu tidak patut ada dan ianya merugikan kepada kamu. Jadi keluar dari kepompong dan beranikan diri untuk bertegur sapa dengan orang Jepun meskipun sekadar menyapa “Konnichiwa”.
#7 Jangan Makan Dan Minum Sambil Berjalan
Di Jepun kamu akan lihat tiada orang yang makan atau minum sambil berjalan ini kerana perbuatan ini dianggap biadap atau kurang sopan. Oleh itu, jika kamu memiliki tabiat makan atau minum secara berdiri, elakkan dari melakukan perbuatan sebegitu apabila berada di Jepun.
#8 Perlu Ke Guna JR Rail Pass?
Kebanyakan pelancong menggunakan JR Rail Pass ini untuk menjimatkan wang perjalanan apabila melawati pelbagai tempat di Jepun. Tetapi jika kamu benar-benar sangat menjaga wang, sebaiknya buat pengiraan berapa kos tambang individu bagi setiap lokasi yang ingin kamu lawati dan bandingkan dengan pas JR Rail tersebut. Nah, lawati laman sesawang ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai JR Rail Pass ini.
#9 Tidak Mandi Sebelum Memasuki Onsen
Para pelancong sering melakukan kesilapan ini apabila berada di Onsen atau kolam air panas iaitu tidak mandi sebelum memasuki kolam air panas. Perbuatan ini sangat-sangat di larang apabila kamu ingin mandi di kolam air panas. Kamu harus mandi untuk membuang kotoran di badan secara bersih tanpa sebarang buih sabun dan kemudian barulah kamu boleh memasuki kolam air panas.
#10 Memakai Baju Renang Di Dalam Kolam Air Panas
Mandi di kolam air panas adalah satu kemestian apabila berkunjung ke Jepun. Kini lebih daripada 138 juta orang datang melawat kolam air panas Jepun setiap tahun. Di Jepun budaya mandi di kolam air panas adalah secara bogel atau mengenakan tuala apabila masuk ke dalam kolam air panas. Hanya segelintir tempat yang membenarkan kamu memakai pakaian renang atau tuala.
#11 Jangan Hembus Hidung Di Tempat Awam
Kita biasa melihat orang menglap hidung di baju dan menghembus hidung di tempat awam menggunakan tisu tetapi perbuatan itu dianggap tidak sopan apabila kamu menghembus hidung di kawasan yang ramai orang seperti di dalam kereta api, restauran, kedai makan dan sebagainya. Jika kamu hendak menghembus hidung, kamu hendaklah pergi ke tandas atau tempat yang tiada orang.
#12 Buat Bising Pada Waktu Malam
Jika kamu menginap di homestay atau menyewa mana-mana rumah sewa di Jepun, elakkan berbuat bising di waktu malam. Biasanya di Jepun, mereka akan mengurangkan bunyi bising secara minimum selepas pukul 10 malam. Jika kamu berparti waktu malam, fikir-fikirkan jiran sekeliling kamu ya!
#13 Elakkan Perlakuan Romantik Di Tempat Awam
Di Jepun, perbuatan seperti memeluk atau bercium di tempat awam sangat sukar di lihat. Paling popular hanya sekadar berpegangan tangan sahaja. Jika kamu berbulan madu ke Jepun, elakkan perbuatan yang intim sebegitu di tempat terbuka.
#14 Simpan Sampah Sendiri
Simpan sampah sendiri, ia kedengaran pelik tetapi itulah yang kamu perlu buat jika kamu ke Jepun. Ini kerana di Jepun sangat sukar untuk menjumpai tong sampah, oleh itu kamu perlu simpan sampah kamu sendiri sehinggalah kamu menemui tong sampah! Hebatkan di Jepun, sampai tong sampah pun sukar di jumpai, sebab tu di Jepun bersih je.
#15 Wajib Bawa Pocket Wifi
Melancong tanpa data, apalah nasib! Data adalah keperluan masa kini oleh itu melancong dengan menggunakan data adalah sangat-sangat diperlukan. Jika ke Jepun, kamu boleh menyewa Pocket Wi-Fi untuk membantu kamu menerima data internet di Jepun!
Di harap, informasi yang Wanista kongsikan kepada kamu semua dapat membantu serba serbi dan melancarkan perjalanan percutian kamu ke Jepun dengan mudah!