Seperti nama judulnya, nampaknya filem ini sudah berjaya membanggakan industri layar perak Korea apabila mencatatkan lebih berbelas juta tontonan secara global dan ia kini diiktiraf sebagai filem Korea kedua yang mendapat angka tontonan tertinggi dalam sejarah!
Merangkul status Box Office, Wanista antara yang terawal di Malaysia berpeluang untuk mentafsir filem “Extreme Job” ini semalam, bertempat di TGV Cinema, One Utama.
Tonton Trailer Filem “Extreme Job”
Harap maklum, filem ini sememangnya bergenre aksi-komedi tetapi ingin penulis tekankan bahawa, segala aksi pertempuran yang dipaparkan dalam ceritera lakonan bintang hebat Ryoo Seung-Ryong, Lee Ha-Nee, Jin Seon-Kyu, Lee Dong-Hwi dan Gong Myung ini boleh dikatakan sangat realistik, jaga-jaga kalau ada yang takut darah dan sensitif dengan bunyi-bunyian kuat.
Berkisarkan tentang 5 sekawan yang bertugas sebagai detektif untuk sebuah skuad narkotik polis tempatan Korea termasuklah Detektif Go, Detektif Ma, Detektif Jang, Detektif Young Ho dan Detektif Jae Hoon… masing-masing boleh dikatakan sangat lurus dan kebiasaannya, cara mereka memberkas suspek agak ‘hambar’ sehingga adakalanya menggugat kepercayaan ketua di jabatan polis.
Hari demi hari berlalu, mereka sedaya upaya mahu cuba menonjolkan diri sebgaai anggota polis berdedikasi sekaligus mampu melaksanakan tugas sebaiknya dan akhirnya, bersetuju untuk menumpaskan sindiket dadah terbesar yang merupakan milik seorang taiko disegani bernama Lee Moo-bae lakonan aktor Shin Ha-kyun.
Suatu hari, sedang mereka asyik menikmati makan malam di sebuah restoran ayam goreng yang hampir bankrap, mereka terlihat kelibat sekumpulan suspek yang seolah bermarkas di bangunan berhadapan restoran tersebut.
Tidak semena-mena, datang idea bernas dari salah seorang daripada mereka -mencadangkan supaya mereka membeli restoran tersebut daripada pemilik asal demi menjadikan restoran tersebut sebagai lubuk untuk menjayakan aktiviti penyamaran.
Bagi mengaburkan pihak suspek, mereka berpura-pura menjalankan perniagaan ayam goreng namun, apa yang tidak disangkakan adalah, menu ayam goreng yang disediakan Detektif Mo nampaknya terlalu sedap sehingga kedai itu mendapat perhatian ramai!
Saban hari mereka terlalu fokus untuk memasak, melayan kebanjiran pelanggan lalu, terlupa tujuan sebenar berkaitan penyamaran yang hendak dilakukan bagi menumpaskan sidiket dadah berkenaan.
Menurut penulis, rangka cerita yang melibatkan pasukan polis sebegini memang kedengaran klise tetapi babak komedi yang ditambah dengan bakat barisan pelakon gah, ‘perasa’ yang diramu dalam filem arahan Pembikin Filem, Lee Byeong-heon ini tentunya lekas menjadi serasi dengan jiwa penonton.
Santai, lucu dan penuh aksi, jalan ceritanya tidak meleret dan teruskan bersabar… beberapa kejutan bakal muncul di pengakhiran ceritanya!
Apa yang penulis boleh jamin, kamu tidak akan rugi sedikit pun jikalau memilih untuk menonton filem ini. Jadi, siapa kata polis hanya tahu memegang pistol dan gari semata?
Kalau nak tahu kesudahannya bagi melihat apakah mereka mampu menewaskan sindiket dadah tersebut? Kamu kenalah tonton sendiri bermula 28 Mac ini okay?!
Secara keseluruhan, penulis beri ⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️!!!
Selamat berhibur dan bergelak ketawa semuanya… ❤️