Kalau kamu gemar menonton siri realiti televisyen Korea, kamu pasti sudah pernah melihat persekitaran “Rumah Sauna Awam” atau lebih dikenali dengan gelaran “Korean Bathhouse” (Rumah Mandi Korea) yang sangat popular dengan aktiviti dipanggil “Jjimjilbang”.
Sangat sinonim dengan jiwa orang tempatannya yang gemar bersantai di hujung minggu, siapa sangka Jjimjilbang kini menjadi tarikan pelancong asing yang rata-ratanya lebih selesa bermalam di rumah-rumah sauna kerana, kebanyakan rumah sauna berkenaan dibuka 24 jam. Untuk itu, pengunjung boleh pilih sama ada mahu membeli tiket Jjimjilbang separuh hari mahupun untuk semalaman.
Lucu! Tonton Blackpink Cuba Pengalaman Jjimjilbang
Uniknya rumah sauna di Korea, selain daripada menawarkan beberapa siri rawatan badan, mereka turut menyediakan ruangan yang dilengkapi tempat melepak yang membolehkan pengunjung tidur, menikmati snek panas, bercanda bersama teman, bermain permainan video serta menonton televisyen tau! Ini seterusnya menjadikan Jjimjilbang sebagai aktiviti bersosial yang lain daripada lain.
Asalnya Aktiviti Untuk Keluarga
Mengikut sejarah Jjimjilbang, ia merupakan aktiviti yang dilakukan sesama ahli keluarga untuk mengeratkan silaturahiam. Jadi jangan pelik tatkala kamu melangkah masuk ke rumah sauna di Korea nanti, boleh dikatakan 70 peratus pengunjungnya adalah terdiri dari ibu bapa yang turut sama membawa anak-anak kecil mereka.
To be honest, suasana dalam Jjimjilbang ini saling tak tumpah seperti sebuah rumah kebajikan buat mereka yang homeless. Dah lah baju semua sama. HAHA!
Terbahagi Kepada Beberapa Bilik Mandi
Nama pun sauna, sudah tentulah aktiviti utama yang dilakukan sewaktu Jjimjilbang adalah untuk bermandi peluh sambil menenangkan emosi.
Mana-mana rumah suana yang kamu pergi di Korea pun akan menyediakan beberapa pilik pilihan sama ada untuk bersauna dalam wap panas yang suhunya bisa mencecah 50 – 90ºC, berehat dalam bilik sauna yang ditanam dengan garam batu, ginseng (tingkat metabolima), batu jed (bantu relaks) atau arang (keluarkan kotoran dari tubuh).
Syarat-Syarat Kemasukan Ke Jjimjilbang
1. Sebaik tiba di kaunter rumah sauna, beli tiket dan pilih pakej yang kamu mahu. Rata-rata pakej untuk bermalam dari 8pm – 5am adalah antara RM40 (₩11,000) hingga RM60 (₩15,000)… Tidak termasuk pembelian snek atau sebarang minuman di dalam nanti.
2. Setelah membeli tiket, kamu akan mendapat kunci locker khas untuk menyimpan barangan peribadi dan kasut. Kunci tersebut boleh dipakai di pergelangan seperti gelang getah sepanjang aktiviti Jjimjilbang.
3. Baju seragam rumah sauna serta sehelai tuala kecil untuk lap peluh akan diberikan dan semua pengunjung wajib memakainya. Berkasut atau berselipar adalah tidak dibenarkan sebaik berada di dalam rumah sauna.
4. Pengunjung harus mandi terlebih dahulu sebelum memasuki mana-mana kolam air panas atau bilik sauna. Ini untuk menjaga kebersihan, lebih-lebih lagi apabila bercampur dengan pelbagai individu lain di dalam nanti. Sabun dan kelengkapan mandi mungkin disediakan dan bilik mandi lelaki dan wanita diasingkan. Sila bawa tuala sendiri untuk mengelap tubuh.
5. Jangan terkejut kalau nampak perempuan lain mandi bogel dalam bilik mandi awam tu. Itu normal. Untuk muslimah, bawalah kain basahan ye. Nanti dah selesai mandi simpan balik dalam locker.
6. Hati-hati bila beli sebarang makanan atau minuman di kantin yang disediakan di dalam. Pastikan sumber makanan adalah bebas alkohol dan jangan makan makanan berdaging seperti sup. Cukup sekadar menikmati ramen segera yang siap dipek, telur rebus atau jagung bakar.
7. Bagi pengunjung muslimah, masih boleh pakai tudung dan boleh pakai legging di bahagian dalam seluar pendek (jika baju seragam yang diberikan adalah jenis seluar pendek). Jangan risau kamu tak akan ditegur atau dimarahi.
8. Kolam air panas biasanya dimandi secara bercampur lelaki dan perempuan namun tak perlu segan. Inilah masanya untuk kamu timba pengalaman! Lepas keluar kolam nanti boleh mandi semula dengan air bersih di bilik mandi awam.
9. Bila dah selesai segarkan badan dan mandi semula dengan air bersih, bolehlah makan di kantin, menonton tv atau main di arked permainan.
10. Dah penat? Boleh ambil tilam yang disediakan dan tidur pada ruangan khas. Selalunya di sini tempat pengunjung berkumpul dan baring secara berselerak. Jangan risau tiada sesiapa akan ganggu kamu dan tempat ini selamat melihatkan barangan kamu pun semua disimpan dalam locker kan?
Tuala peluh yang diberi awal tadi, jangan lupa pakai di kepala -siap disimpul seperti tanduk kambing gurun ni. Baru boleh join komuniti Jjimjilbang. Hehe
Ada rezeki datang Korea nanti, bolehlah singgah mana-mana rumah Sauna Jjimjilbang. Antara yang popular adalah rumah spa dan sauna Dragon Hill yang terletak di Yongsan-gu, Seoul.
Kalau tak mampu sangat tidur di hotel. Setakat bayar RM60 (₩15,000) untuk bermalam di Jjimjilbang pun apa salahnya. Keselamatan pun terjamin dari overnight di tepi jalanan.
Selamat mengembara semuanya! ❤️